Berita

SKDS: Mohon pembayaran semula bermula 1 Julai

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 12 Jun 2024 1:26 PM MYT

PEMILIK kenderaan logistik yang diluluskan dan belum menerima fleet card boleh memohon pembayaran semula bermula pada 1 Julai 2024.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah berkata pemohon hendaklah menyimpan resit pembelian diesel untuk tujuan audit dan boleh dibuat melalui portal BUDI MADANI di https://budimadani.gov.my.

“Untuk layak menerima pembayaran semula ini, pemilik kenderaan logistik hendaklah membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 selewat-lewatnya pada 30 Jun 2024.

“Mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon sehingga menerima fleet card atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu.

“Oleh itu, kerajaan menyarankan supaya semua pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah SKDS 2.0 untuk segera memohon fleet card secepat mungkin melalui portal https://mysubsidi.kpdn.gov.my,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau kerajaan sedang giat memastikan penyasaran subsidi mencapai objektifnya, terutamanya melibatkan pelaksanaan SKDS 2.0 yang membolehkan kenderaan logistik tertentu kekal memperoleh diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter.

“Kerajaan mahu pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel berjalan dengan lancar dan akan sentiasa memantau perkembangan aktiviti sektor logistik kerana dengan pelaksanaan SKDS 2.0, tiada sebab munasabah untuk mereka bertindak menaikkan harga yang boleh mengesankan rakyat.

“Pembayaran semula secara tunai ini ialah langkah sementara Kerajaan untuk terus membantu pembekal perkhidmatan logistik supaya tidak terkesan dengan perubahan harga runcit diesel,” ujarnya.

Terdahulu Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali mengumumkan Kerajaan telah membangunkan mekanisme interim melibatkan pembayaran semula secara tunai kepada pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah SKDS 2.0, tetapi belum mendapat fleet card.

Mekanisme ini merupakan kaedah sementara untuk menampung perbezaan harga antara harga runcit diesel baharu iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas