“PIHAK kami rasa puas apabila dapat menggembirakan hati anak-anak ini,” luah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Serdang, Selangor, Mohd Azlan Goh Mohamed Yusoff.
Azlan berkata demikian dalam Program Shopping Baju Raya 2025 pada 20 Mac baru-baru ini, bertempat di Mydin Wholesale Hypermarket USJ 1.

Program tajaan Ehsan Group Of Companies ini adalah meraikan 69 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang beragama Islam sempena Aidilfitri ini.
Apa yang istimewa, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Hamid PV Abduh dan isterinya, Datin Hajaran Bibi Amiran turut meluangkan masa membantu murid-murid PPKI memilih pakaian.
“Apabila dapat bantu mereka memberi keperluan raya ini, kita rasa seronok sangat lihat mereka senyum dapat baju baharu.
“Sebagai guru besar, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan yang terbaik.
“Alhamdulillah, saya mewakili sekolah amat berbesar hati apabila Ehsan Group of Companies sudi menaja pakaian hari raya untuk 69 pelajar istimewa kami. Ini adalah kali keenam pihak sekolah bekerjasama dengan syarikat ini.
“Apa yang istimewa, setiap murid diperuntukkan RM120 seorang sama ada untuk beli baju atau keperluan hari raya. Selain guru-guru yang bertugas, mereka turut ditemani oleh ibu bapa yang lebih tahu apa yang diperlukan oleh anak-anak sempena Aidilfitri ini.
“Saya amat berterima kasih kepada guru-guru yang terlibat dalam program ini. Tanpa usaha mereka, agak sukar sebenarnya untuk kami menyantuni anak-anak istimewa ini,” luah Azlan.
Menyentuh isu terdapat segelintir ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak-anak mereka mengikuti pendidikan khas disebabkan rasa malu, Azlan berkata, situasi ini tidak sepatutnya berlaku.
“Di SK Serdang, sebahagian besar murid pendidikan khas ini mempunyai masalah dalam pembelajaran atau slow learner, autisme dan sebagainya. Namun begitu, mereka cepat belajar dan boleh dibentuk dengan didikan guru-guru di sini.
“Sekiranya ada anak istimewa, janganlah sembunyikan. Jangan ada rasa takut atau malu ada anak seperti mereka. Sebaliknya, ibu bapa perlu dedahkan mereka kepada sekolah agar cikgu-cikgu dapat bantu.
“Saya tahu, ada segelintir ibu bapa yang malu dan cuba menafikan bahawa anak mereka tergolong dalam anak-anak istimewa yang perlu dididik dengan cara yang sepatutnya.
“Apabila ibu bapa seperti ini menghantar anak mereka ke sekolah aliran perdana, jadi anak-anak ini tidak dapat pendidikan yang sepatutnya mereka terima.
“Sekolah aliran perdana menekankan soal akademik sedangkan dalam PPKI anak-anak ini belajar bagaimana mengurus diri dan bukan hanya sekadar akademik. Ini sangat penting kerana apa yang diajar itulah membentuk diri mereka pada masa akan datang,” ujarnya.
Menurut Azlan lagi, kegagalan ibu bapa mengenal pasti hala tuju pendidikan yang sesuai buat anak-anak istimewa adalah sesuatu yang merugikan.
“Kalau hantar ke sekolah aliran perdana juga, mereka akan ketinggalan. Kasihan pada mereka kerana tidak dapat pendidikan yang sewajarnya.
“Saya dah jumpa dengan ramai sangat ibu bapa yang malu nak dedahkan anak mereka mempunyai masalah. Apa yang menyedihkan adalah mereka enggan mendaftarkan anak di Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana malu untuk dapatkan kad OKU (Orang Kelainan Upaya).
“Sedangkan murid-murid ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Kalau ibu bapa dapatkan kad OKU, mereka boleh dapat bantuan sebanyak RM 1800 untuk setahun.
“Kalau mereka tak maklumkan hal ini kepada sekolah awal-awal, nanti anak-anak akan ketinggalan. Bagaimana dengan masa depan mereka?” Tambahnya lagi. – WILAYAHKU