Biz

Sk Fabric Printing tudung eksklusif, harga mampu milik

- Diterbit 1 Disember 2023 2:30 AM MYT

GENAP lima tahun dalam bidang perniagaan tudung, kini Sk Fabric Printing mampu bersaing dengan jenama popular di luar sana. Malah pendapatan jualan sebulan juga mencecah dua angka.

Pemiliknya Nur Alyani Che Yeop, 29, berkata demi memastikan tudung jenamanya terus mendapat permintaan, kelainan perlu ditampilkan di mana corak yang dihasilkan adalah terhad.

“Kita menjual tudung custom mengikut corak yang diingini pembeli untuk diletakkan pada tudung mereka. Ia bertepatan dengan tagline kami, Eksklusif Itu Satu.

“Selain tu, tudung tersebut juga didatangkan dengan kotak khas untuk kelihatan eksklusif dan mewah sekali gus sesuai dijadikan sebagai hadiah. Namun apa yang menarik, ia mampu milik supaya setiap golongan dapat bergaya,” ujarnya harga bagi tudung bawal adalah RM79 manakala selendang pula RM89.

Berkongsi lanjut berkenaan perkhidmatannya, Nur Alyani berkata selain tudung, dia turut mengambil tempahan cetakan fabrik lain seperti kain ela, bendera dan sebagainya.

“Setakat ini, kami mendapat respons yang baik daripada pelanggan yang rata-ratanya gembira dapat melihat rekaan yang diinginkan dicetak pada tudung selain taburan swarovski mengikut permintaan,” ujarnya yang juga merupakan alumni Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) anjuran Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) pada tahun 2019.

Bercerita lanjut tentang perjalanan perniagaannya, Nur Alyani berkata ia bermula sejak tahun 2018 di mana ketika itu dia baru sahaja menamatkan pengajian dan perlu menjaga ayah yang sakit.

“Ketika itu abang beri idea untuk belajar lukisan grafik serta Adobe Illustrator bagi membuat corak tudung. Waktu itu, tidak ramai yang menawarkan perkhidmatan custom tudung jadi saya yakin dengan idea tersebut.

“Dengan hanya bermodalkan sebuah komputer riba dan telefon kini saya tidak menyangka boleh pergi jauh. Walaupun begitu, dalam bidang perniagaan pasti ada cabaran antaranya percambahan syarikat percetakan selepas pandemik. Namun, saya anggap ia adalah saingan yang sihat,” ujarnya yang menerima tempahan di luar jangkaan apabila tiba musim perayaan dan sebagainya.

Memandang jauh ke hadapan, Sk Fabric Printing merancang untuk membuka kilang bagi melancarkan operasi dan urusan produksi supaya dapat bersaing ke peringkat lebih tinggi.

“Selain itu, kita akan membeli beberapa buah mesin lagi antaranya mesin cetakan, mesin jahit dan lain-lain di samping mempelbagaikan perkhidmatan baru seperti hadiah korporat, baju dan banyak lagi,” ujarnya yang ingin membina jenama Sk Fabric Printing di Putrajaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas