PASUKAN SJ Virtuosos FC muncul juara Liga Bola Sepak M5 Putrajaya 2023 selepas berjaya membenam pihak lawan, Sungai Merab FC 2-1 di pentas akhir yang berlangsung di Stadium Pancarona baru-baru ini.
Kejayaan itu membolehkan SJ Virtuosos FC membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM8,000 berserta piala iringan dan medal manakala Sungai Merab FC membawa pulang RM5,000 berserta medal.
Dalam aksi final itu, SJ Virtuosos FC berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-25 menerusi Muhamad Asmawi Yakin sebelum Muhammad Adnan Awal Hisham menggandakan kedudukan menjadi 2-0 pada minit ke-47.
Gol sagu hati Sungai Merab FC dijaringkan Muhammad Nur Danish Nor Azam pada minit ke-52, keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus melayakkan SJ Virtuosos FC muncul juara dan layak ke Liga M4 musim hadapan.
Tahniah diucapkan kepada SJ Virtuosos FC yang dinobatkan sebagai juara dan layak ke Liga M4 musim akan datang. Untuk Sungai Merab FC pula boleh mencuba nasib untuk ke M4 menerusi perlawanan ‘play-off’.
Terdahulu, majlis disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad; Presiden Persatuan Bola Sepak Putrajaya (Putrajaya FA), Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud. – WILAYAHKU