MALAYSIA memantau rapat perkembangan di Syria dan menekankan keperluan mendesak untuk penyelesaian jangka panjang dan mampan terhadap situasi di negara itu.
Wisma Putra memberitahu, ia semestinya perlu berlandaskan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan resolusi-resolusi berkaitan Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
“Malaysia percaya bahawa perlindungan institusi nasional utama serta kebajikan dan kepentingan rakyat Syria seharusnya menjadi keutamaan semasa tempoh peralihan ini, sementara kedaulatan, kemerdekaan dan keutuhan wilayah Syria dihormati sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jelas Wisma Putra, Malaysia menyeru semua pihak untuk terlibat dalam dialog yang inklusif dan konstruktif bagi membuka jalan kepada pemulihan dan keamanan serta kestabilan jangka panjang di Syria.
Untuk itu katanya, Malaysia menyokong hak rakyat Syria untuk menentukan masa depan seiring dengan aspirasi mereka yang sah.
Presiden Bashar al-Assad yang juga pemimpin rejim Baath Syria memutuskan untuk meletak jawatan dan meninggalkan Syria selepas kerajaannya digulingkan.
Bashar memerintah Syria sejak 2000 apabila mewarisi kuasa daripada bapanya, Hafez al-Assad.
Sejak 2011, beliau menggunakan pakai tindakan keras terhadap gerakan demokrasi yang bermula dengan protes aman.
Penindasan kerajaannya terhadap protes berubah menjadi perang paling berdarah dan lama sehingga mengorbankan ratusan ribu orang. – WILAYAHKU