BARU-baru ini timbul isu mengenai perubahan waktu daftar masuk dan daftar keluar hotel serta rumah inap (homestay) yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai.
Lazimnya waktu daftar masuk hotel dan rumah inap ialah pukul 3 petang sementara waktu daftar keluar atau check out pukul 12 tengah hari keesokan hari. Tetapi dilaporkan ada hotel yang menguatkuasakan waktu masuk pukul 4 petang dan keluar pukul 11 pagi.
Bagi kawan-kawan Kedai Kopi‚ langkah ini kurang adil untuk pengguna. Selama ini pun jika masuk pukul 3 petang dan keluar pukul 12 esoknya‚ waktu berada di hotel hanya 21 jam. Jika masuk lagi lewat dan keluar lebih awal‚ lagi kurang masa di premis.
Ramai warga Malaysia suka melancong terutama pada hujung minggu atau musim cuti panjang. Inilah masa membawa keluarga bersantai.
Tidak kisah destinasi pelancongan dituju‚ tanah tinggi atau pulau atau lokasi popular negara‚ tempat penginapan yang sering menjadi pilihan keluarga ialah hotel atau rumah inap. Banyak bilik hotel dan rumah inap tersedia memenuhi permintaan.
Oleh itu‚ kawan-kawan Kedai Kopi berharap pengendali premis berkenaan wajar memberi mereka jangka waktu munasabah untuk berada di premis.