PENILAIAN ancaman terhadap situasi di Laut China Selatan secara amnya adalah selamat dan terkawal.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia juga kekal bebas dan terbuka kepada komuniti maritim.
Untuk itu beliau menegaskan kehadiran aset-aset maritim China di Laut China Selatan adalah lebih kepada Pasukan Pengawal Pantai China (China Coast Guard), bukannya kapal perang.
“Ia selaras dengan pendekatan grey zone strategy yang sedang dilaksanakan China di Laut China Selatan.
“Walaupun kehadiran kapal China ini di perairan negara mencetuskan polemik namun sehingga ke hari ini mereka tidak melakukan sebarang tindakan agresif seperti berlaku kepada negara lain iaitu Filipina dan Vietnam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai tahap keselamatan perairan Malaysia di Laut China Selatan.
Ady berkata, Kementerian Pertahanan tetap komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan untuk mempertahan kedaulatan negara.
Katanya, ia juga termasuk memastikan kesiapsiagaan aset-aset berada pada tahap yang optimum dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman di kawasan maritim negara terutama di Laut China Selatan.
Dalam pada itu beliau berkata, keutamaan Malaysia dalam isu di Laut China Selatan adalah kesiapsiagaan dan pemodenan aset.
“Ia proses paling penting kita harus lihat bagaimana meningkatkan pemodenan aset-aset ini.
“Yang keduanya mengenai operasi. Operasi ini kita tingkatkan dari semasa ke semasa dan yang ketiga adalah kita tingkatkan diplomasi pertahanan.
“Kita melalui ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) kita cuba perkukuhkan supaya isu Laut China Selatan bukan sahaja terkait negara jiran tetapi keseluruhan ASEAN,” katanya.
Beliau menambah, Malaysia akan menggunakan platform ASEAN bagi memanfaatkan itu untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit termasuk memanfaatkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai nota bantahan, katanya, Malaysia akan sentiasa membuat bantahan diplomasi terhadap China bagi memastikan Laut China Selatan adalah selamat.
“Kita juga menggunakan diplomasi pertahanan melalui hubungan 50 tahun Malaysia-China.
“Mungkin berbeza tindakan kita dengan negara-negara lain tetapi bagi kita Malaysia, selagi kita memanfaatkan diplomasi ini, dan kita boleh melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi, cari gali minyak dan aktiviti nelayan, pelancongan, perdagangan, selagi itu dapat dilaksanakan dengan aman, itulah keutamaan-keutamaan kita,” katanya. – WILAYAHKU