Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Siti Nurhaliza, suami selesai buat badal haji untuk arwah Huzz

- Diterbit 28 Jun 2024 5:00 PM MYT

KELUARGA Allahyarham Huzz atau nama sebenarnya Kamal Huzaini Kamaludin menzahirkan rasa syukur selepas ibadah badal atau upah haji buat arwah telah disempurnakan pada 15 Jun lalu.

Adik Huzz iaitu Nurul Afida memberikan penghargaan itu kepada pasangan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami iaitu Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa kerana sudi menaja kos bagi tujuan ibadah rukun Islam kelima itu.

“20 hari selepas kepulangan Huzz ke Rahmatullah, kami bersyukur kerana dimaklumkan badal haji buat arwah telah sempurna.

“Terima kasih khususnya buat Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid (suami) kerana menunaikan janji mereka kepada Huzz semasa menziarahi sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Afida yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut berkongsi sijil badal haji yang telah sempurna dilakukan itu.

Tajaan badal haji itu dibuat oleh Siti dan suami menerusi badan kebajikan milik mereka iaitu Yayasan Nurjiwa.

Siti sebelum ini memaklumkan suaminya berhasrat untuk menaja badal haji buat Huzz ketika arwah terlantar sakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser usus.

Huzz, wartawan hiburan veteran itu meninggal dunia pada 8 Jun lalu sekitar pukul 6.10 petang di kediaman abangnya di Pulau Pinang.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Berpusat Seberang Perai Utara di Permatang Langsat pada hari sama. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas