DUA penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika bakal berkongsi pentas dalam konsert The Journey of Sound: Judika x Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 14 Disember ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Menurut Siti, dia sangat teruja apabila pihak penganjur, Universal Gateway merealisasikan impiannya untuk bergabung tenaga dengan penyanyi yang berasal dari Indonesia itu setelah lebih dua dekad menjadi penghibur industri muzik.
Bagi Siti, Judika sebagai penyanyi serba boleh dan yakin peminat yang hadir pada konsert anjuran Universe Gateaway itu tidak akan kecewa dengan persembahan yang bakal disajikan selama hampir tiga jam.
“Judika ini senang sangat, sebab kalau saya bagi lagu orang lain seperti Cakra Khan, Faizal Tahir pun, suaranya semua boleh ‘masuk’ malah dia boleh buat stail tersendiri.
“Saya suka sangat terutamanya apabila dapat bersama atas pentas dengan artis yang ada karisma, karakter serta aura memukau,” katanya.
Menurut Siti Nurhaliza, pemilihan lagu ketika konsert masih lagi di peringkat perbincangan kedua-dua pihak.
“Tetapi apa yang pasti selain nyanyi duet, saya juga akan ada bahagian solo, begitu juga dengan Judika,” katanya.
Sementara itu Judika melahirkan keterujaan dan berbesar hati untuk berkolaborasi dengan penyanyi yang disegani dan dihormati, Siti Nurhaliza.
“Tentu sahaja saya tidak punya alasan untuk menolak satu panggung bersama Dato Sri Siti Nurhaliza yang saya hormati, apa lagi berkolaborasi dengan beliau.
“Saya tidak boleh menjanjikan bulan dan bintang tetapi percayalah anda akan menikmati sebuah pengalaman luar biasa di The Journey of Sound bukan hanya kerana saya dan Siti Nurhaliza selaku subjek utama tetapi bagaimana keseluruhan produksi konsert ini mempersembahkan konsep yang spektakular untuk ditonton,” ujar Judika.


Menurut Isa yang juga merupakan Ketua Pegawai Kewangan daripada Universe Gateaway, peminat yang hadir akan menyaksikan persembahan hebat di luar jangkaan.
“Kami di Universe Gateway sangat berbesar hati menganjurkan The Journey of Sound yang menampilkan kolaborasi dua figura hebat dunia hiburan Nusantara iaitu Siti Nurhaliza dan Judika.
“Mungkin khalayak sudah pernah menonton Siti Nurhaliza dan Judika berduet atau satu pentas sebelum ini tapi percayalah The Journey of Sound akan menjadi panggung yang menyaksikan mereka mempersembahkan sesuatu yang di luar jangkaan anda.
“The Journey of Sound akan menjadi konsert mega daripada dua penyanyi daripada negara berbeza namun dengan tujuan sama iaitu mengukuh dan mengeratkan silaturahim peminat muzik di Nusantara.
“Bukan itu sahaja, The Journey of Sound akan dipenuhi warna warni perjalanan seni dan ‘bunyi’ muzik yang telah mengharumkan nama Siti Nurhaliza dan Judika sepanjang perjalanan seni mereka,” ujarnya.
Untuk itu, buat peminat Siti Nurhaliza dan Judika, pastikan membeli tiket-tiket dengan harga kategori bermula RM 199 (CAT 5), RM 299 (CAT 4), RM 399 (CAT 3 LOWER / UPPER), RM 499 (SEAT 3), RM 599 (SEAT 2), RM 699 (SEAT 1), RM 799 (ROCK ZONE), RM 799 (VIP ROYAL BOX), RM 899 (VIP ROCK ZONE), RM 1,199 (VIP), RM 1,299 (SUPER VIP).
Penjualan tiket dibuka bermula hari ini dengan pembelian ‘early bird’ akan berlansung daripada minggu pertama sehingga ketiga.
Kesemua kategori tiket boleh dibeli hari ini menerusi ticket2u.com.my. – WILAYAHKU