SEBANYAK 13 daripada 33 syarikat konsesi lebuh raya belum menyatakan persetujuan bagi pelaksanaan sistem pembayaran tol aliran pantas pelbagai lorong atau ‘multi lane fast flow’ (MLFF).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketika ini rundingan masih dijalankan melibatkan 20 konsesi mengenai MLFF iaitu konsep tol tanpa palang.
Menurut beliau, sistem itu sudah diguna pakai di beberapa negara jiran termasuk Thailand dan Singapura.
“Kita ada 33 syarikat konsesi. Masalahnya tak semua konsesi bersetuju dengan 20 konsesi dalam rundingan, 13 lagi belum setuju.
“Tempoh rundingan berdasarkan perjanjian pelantikan (pelaksanaan MLFF) akan tamat pada 16 Disember ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai pelaksanaan pembayaran tol tanpa palang.
Ahmad berkata, cadangan pelaksanaan MLFF merupakan salah satu inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk menambah baik sistem kutipan tol.
Katanya, melalui MLFF, pengguna tidak lagi perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan bagi membuat bayaran tol.
Ia jelasnya, mampu meningkatkan kelancaran transaksi pembayaran tol dan perjalanan pengguna di lebuh raya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, KKR bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi lebuh raya sentiasa memastikan tahap kecekapan yang tinggi dalam pelaksanaan sistem kutipan tol secara Radio Frequency Identification (RFID).
Walau bagaimanapun katanya, beberapa isu telah dikenal pasti melibatkan aspek teknikal dan operasi dalam pelaksanaan kutipan tol melalui teknologi RFID.
“Bagi isu teknikal, syarikat konsesi lebuh raya telah melaksanakan kerja-kerja penalaan (fine tuning) dengan lebih kerap di lorong-lorong RFID manakala bagi isu operasi, syarikat konsesi sentiasa membuat hebahan kesedaran kepada pengguna agar mempunyai baki e-wallet yang mencukupi sebelum melalui plaza tol.
“Dengan pelaksanaan usaha-usaha ini, ia dapat mempertingkatkan prestasi dan kecekapan sistem RFID.
“Keperluan penambahan lorong RFID di setiap plaza tol juga dipantau dari semasa ke semasa. Sehingga kini sebanyak 580 daripada 2,348 lorong atau 24 peratus RFID di plaza tol terpilih telah disediakan bagi memastikan pengguna dapat membuat transaksi tol menggunakan RFID dengan lebih lancar,” katanya. – WILAYAHKU