Berita

Sistem pemilihan Ahli Majlis PBT sudah terbaik, tidak perlu pilihanraya – Penganalisis

- Diterbit 18 Disember 2023 4:24 PM MYT

SISTEM pemilihan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengikut komposisi kaum yang diamalkan selama ini merupakan kaedah terbaik berbanding pilihanraya PBT seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, kata penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan.

Tegas Azmi, sekiranya pilihanraya PBT dilaksanakan, ia hanya akan menguntungkan satu-satu kaum serta boleh menyisihkan kaum minoriti yang lain terutama di bandar-bandar utama khususnya di Kuala Lumpur

“Hakikatnya niat untuk memilih pemimpin itu memang baik, namun apabila seorang pemimpin parti yang bersungguh-sungguh menyuarakan dan mengetengahkan cadangan ini, ia sebenarnya memberi manfaat kepada penyokong mereka yang terdiri daripada bangsa cina iaitu kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan penyokongnya,” katanya kepada Wilayahku ketika di hubungi hari ini.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) itu berkata, mana-mana pihak perlu mengenepikan cadangan tersebut sekiranya niat untuk berdemokrasi itu berkemungkinan akan menyinggung perasaan dan menyisihkan kumpulan minoriti dalam PBT tersebut.

“Mereka perlu berhati-hati dalam mengutarakan pandangan ini kerana ia memberi keuntungan kepada mereka. Walaupun DAP dalam kerajaan sekarang ini, tetapi ia hanya menguntungkan penyokong mereka jadi tidak adil bagi kumpulan minoriti yang lain,” katanya.

Menurut Azmi, beliau tidak menafikan bahawa cadangan pilihanraya PBT itu untuk melantik wakil dan ia dianggap sebagai proses demokrasi kerana memberikan kuasa memilih wakil kepada penduduk.

“Namun hakikatnya kalau kita melihat di kebanyakkan kawasan yang ada PBT, ini lah kawasan yang majoritinya adalah satu kumpulan sahaja tidak kiralah kumpulan Melayu, India atau Cina, tetapi majoritinya dikatakan agak berlebihan di situ.

“Ia bukan majoriti mudah tetapi 2/3 terutama sekali di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kawasan PBT lain umpamanya rata-rata majoritinya atau super majoritinya adalah hanya didominasi hanya satu kaum iaitu bangsa Cina,” katanya.

Semalam Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur bertujuan untuk meningkatkan kelestarian serta memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

“Kita tidak perlu untuk terus melaksanakan pilihan raya tempatan di seluruh negara, tetapi kita boleh mula di Kuala Lumpur yang sangat-sangat memerlukan demokrasi dalam proses merakyatkan sistem pentadbiran ibu negara kita ini.

“Dengan pelaksanaan pilihan raya PBT sudah lama tertangguh, prinsip ‘tiada cukai tanpa perwakilan’ perlu ditegakkan demi memastikan keberkesanan, bersih, dan kerajaan berorientasikan rakyat dan menjadikan Kuala Lumpur bandaraya bertaraf dunia yang kita semua banggakan,” kata Ahli Parlimen Cheras itu ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan 2023 pada Ahad.

Pilihan raya PBT di Malaysia digantung pelaksanaannya pada 1960-an dan kemudian diganti dengan sistem lantikan ketua, di mana datuk bandar majlis tempatan dan yang dipertua majlis, termasuk ahli majlis dilantik kerajaan negeri.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ketika menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Datuk Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pilihan raya PBT bukan keutamaan pihaknya ketika ini dan menegaskan Kerajaan Perpaduan melalui KPKT memberi tumpuan kepada tujuh bidang fokus utama antaranya membangun dan memperkasakan peranan kerajaan tempatan menjana sumber pendapatan tambahan negara, perancangan perumahan yang lebih komprehensif dan berdaya saing serta pemerkasaan komuniti tanpa mengira kaum. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas