Berita

Sistem pembayaran tol aliran pantas: KKR dapatkan hala tuju baharu daripada Kabinet

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 19 Februari 2025 3:25 PM MYT

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) akan mendapatkan hala tuju baharu daripada Kabinet berkaitan kaedah pelaksanaan sistem kutipan tol secara ‘aliran pantas pelbagai lorong’ (MLFF).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini selepas Perjanjian Pelantikan yang ditandatangani di antara kerajaan dan syarikat pencadang iaitu KJS-SEP JV bagi pelaksanaan sistem itu berakhir 16 Disember lalu.

Katanya, dalam tempoh Perjanjian Pelantikan tersebut, tiga pihak utama iaitu kerajaan, 33 syarikat konsesi lebuh raya sedia ada dan syarikat pencadang tidak dapat mencapai persetujuan memuktamadkan rundingan.

“Selepas tiga tahun (tidak mencapai persetujuan) secara langsung Perjanjian Pelantikan tersebut telah terbatal.

“Pihak kementerian masih komited untuk melaksanakan sistem kutipan tol secara MLFF dalam memastikan keselesaan dan kemudahan kepada pengguna lebuh raya dapat diutamakan.

“Justeru pihak kementerian akan mendapatkan hala tuju baharu daripada Jemaah Menteri berkaitan kaedah pelaksanaan MLFF ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai pendirian semasa kerajaan dalam memuktamadkan hala tuju struktur tadbir sistem pembayaran tol MLFF.

MLFF merupakan satu inisiatif kementerian bagi masa depan untuk sistem kutipan tol, ini sejajar dengan pelan pelaksanaan Sistem Pengangkutan Pintar Negara (ITS).

Melalui sistem kutipan tol MLFF, pengguna tidak lagi perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan bagi membuat bayaran tol dan seterusnya melancarkan lagi aliran trafik di kawasan plaza tol.

Pengguna akan melalui transaksi pembayaran tol yang cepat dan efisien, ia akan dilaksana melalui penyediaan platform sistem pembayaran terbuka yang lebih berkesan dan anti monopoli serta dapat memelihara alam sekitar dari pelepasan karbon yang berlebihan, diakibatkan oleh kesesakan trafik di plaza tol.

Ahmad berkata, di antara halangan utama bagi rundingan pelaksanaan MLFF melalui Perjanjian Pelantikan tersebut ialah kerana tidak mendapat persetujuan semua 33 syarikat konsesi lebuh raya selain kegagalan untuk memuktamadkan struktur tadbir urus pelaksanaan MLFF.

“Diberitahu bahawa hanya 20 syarikat konsesi bersetuju dan 13 lagi tidak bersetuju kepada cadangan (proposal) syarikat pencadang,” katanya.

Beliau menambah, beberapa negara di dunia seperti Amerika Syarikat, Australia dan Austria sudah beralih menggunakan kaedah MLFF manakala di rantau Asia Tenggara, Thailand juga telah mengorak langkah ke arah pelaksanaan sistem ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas