Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
SAYA sangat suka cara komposer M Nasir menjawab soalan seorang juruhebah yang bertanya tentang pengalaman masa susahnya di Kuala Lumpur seperti beberapa artis lain yang terpaksa makan mi segera. M Nasir berkata, beliau melalui semua itu, tetapi beliau tidak faham adakah semua itu satu kesusahan?
Lebih menarik lagi M Nasir tidak menganggap yang dilalui itu sebagai satu kesusahan. Sebaliknya itu sebagai suatu yang dilalui sahaja. Saya faham jawapan ringkas itu malah amat setuju bahawa begitulah sesuatu yang bernama kehidupan.
Sama seperti kanak-kanak sekolah yang terpaksa menggalas beg buku yang berat. Memanglah memeritkan dengan keupayaan mereka yang masih kanak-kanak. Tetapi itulah pengalaman hidup yang dilalui. Sesuatu yang dianggap pahit menjadi manis ketika mereka memahami nilai kenangan seperti itu.
Malah mungkin dicemburui oleh anak-anak orang berada yang tidak pernah mengutip pengalaman yang menjadi kenangan manis setelah dewasa. Anak-anak orang berada tidak ada pengalaman menggalas beg berat, semuanya dilakukan oleh pembantu yang digaji oleh keluarganya.
Disebabkan hal itulah kenangan menjadi terlalu berharga hingga tidak ada yang mampu membelinya. Kekayaan hanya boleh membeli sesuatu yang bersifat benda. Tetapi tidak boleh membeli suatu yang tersimpan pada satu sudut istimewa di jiwa yang disebut sebagai kenangan.
Dalam kalangan teman-teman juga pernah bertanya saya tentang kenangan pahit di Kuala Lumpur. Bagaimanapun saya selalu mengatakan bahawa semuanya manis belaka. Tidak ada kenangan pahit yang dilalui sekalipun sudah empat dekad menjadi warga kota.
Banyak yang tidak percaya, masakan dalam masa yang begitu lama tidak ada kenangan pahit seperti teman-teman lainnya pada zaman muda dulu. Saya hanya melalui semua yang semestinya dilalui oleh orang lain. Malah mereka tahu keadaan saya ketika awal bekerja dulu yang selalu tidak cukup belanja untuk sampai ke hujung bulan.
Hal itu bukanlah satu rahsia, malah begitulah kehidupan anak muda yang bukan elit dekad 1980-an. Tetapi semua itu adalah pengalaman yang dilalui pada suatu waktu yang kini menjadi kenangan yang indah. Ia menjadi indah kerana nilai pengalaman itu.
Semua yang dilalui itu adalah peristiwa yang memberikan pengalaman hidup yang tidak ternilai. Disebabkan itu semuanya menjadi manis sebagai bahan kenang-kenangan tatkala kita menoleh masa lalu yang jauh di belakang.
Maka terbuktilah yang pahit itu adalah rentetan peristiwa yang mungkin pada saat itu mendatangkan sedikit rasa tidak senang. Bagaimanapun saat ditanggapi sebagai kenangan pula, semua itu menjadi amat manis. Apa lagi dikenang berpuluh tahun kemudian, pada saat kita sudah meninggalkan jauh rasa pahitnya.
Kita meraih rasa bahagia dengan segala rentetan peristiwa dan pengalaman yang dilalui pada masa lampau. Sebenarnya masa boleh mengubah segalanya bukan sahaja muka bumi tetapi juga pengalaman yang dilalui. Pengalaman pahit menjadi kenangan manis apabila berada pada masa yang jauh di depan.
Garis masa kematangan
Mengenang kembali perjalanan hidup yang awal di Kuala Lumpur, saya sama juga dengan teman-teman lainnya yang sentiasa berdepan kekangan kewangan. Saya dan teman-teman terpaksa bersukat-sukat, berfikir berkali-kali ketika berbelanja untuk memastikan tidak kehabisan wang sebelum mendapat gaji bulan berikutnya.
Adalah suatu perkara yang biasa bersembang berjam-jam di restoran mamak di Central Market tetapi hanya minum teh tarik. Semua faham keadaan masing-masing yang tidak jauh beza antara satu dengan lain. Malah saya lebih beruntung kerana hujung bulan pasti mendapat gaji sekalipun kecil.
Banyak juga dalam kalangan teman-teman yang ‘ada kerja ada gaji.’ Mereka tidak ada istilah hujung bulan atau awal bulan. Saya pula yang menumpang pengalaman teman-teman seperti itu dengan rasa yang amat bersyukur kerana berada dalam keadaan lebih baik berbanding mereka.
Teman-teman saya di Kuala Lumpur bukan sahaja dalam kalangan wartawan, malah banyak juga seniman sepenuh masa yang ‘ada kerja ada gaji’. Mereka menyanyi di tepi-tepi jalan siang dan malam untuk mendapat upah yang tidak menentu jumlahnya.
Dalam kalangan wartawan pula, banyak juga yang bekerja di syarikat surat khabar kecil yang menerbitkan tabloid mingguan bercorak politik. Suatu hal yang perlu diketahui juga bahawa politik itu ada musim tertentu. Maka banyaklah teman saya yang terkesan dengan jualan surat khabar merudum di luar musim politik.
Tetapi semua yang dilalui itu bukanlah pengalaman pahit atau susah. Semua itu adalah pengalaman yang amat berharga untuk satu jangka masa yang jauh di depan. Malah bukan semua orang diberi peluang melalui pengalaman yang begitu tinggi nilainya.
Disebabkan hal itu juga banyak dalam kalangan teman tidak pernah merungut atau menanggapi keadaan yang dilalui dengan kecewa atau putus asa. Saya dan mereka menjalani kehidupan seperti biasa dan seadanya. Bagaimanapun masa yang sama terus mencari peluang untuk menambahkan pendapatan.
Semua itu adalah yang sepatutnya dilalui itu dan diterima dengan hati yang terbuka, tanpa menganggap suatu yang pahit. Kini semuanya menjadi kenangan sekali gus pengalaman yang penuh warna-warni. Sememangnya kemanisan itu amat jarang difikir ketika melalui pengalaman itu suatu waktu dulu.
Kepada anda yang sudah lama merantau ke Kuala Lumpur, apakah suatu peristiwa yang dilalui dan tidak pernah dilupakan hingga saat ini? Saya percaya banyak dalam kalangan kita mempunyai kenangan, tidak kiralah yang membahagiakan atau sebaliknya. Sebenarnya yang dirasakan pahit itu adalah peristiwa dan yang manis itu adalah kenangan.
Kenangan adalah bahagian integral dari kehidupan manusia. Hal itu sesuatu yang berharga, indah dan yang penting kenangan yang terlahir dari pengalaman itu berperanan besar dalam membentuk kematangan setiap individu. Tidak kurang juga mempengaruhi pola fikir, tindakan dan perasaan.
Kenangan melibatkan hal-hal perasaan seperti kebahagiaan, kesedihan, kekecewaan bahkan trauma. Dalam sejarah hidup setiap individu, kenangan menjadi titik penting yang menandakan perubahan besar yang berlaku pada garis masa kematangan dalam diri.
Maka semua peristiwa pahit atau manis yang berlaku itu adalah satu anugerah yang dituai hasilnya yang manis pada masa depan. Kenangan yang dinikmati dua atau tiga dekad kemudian itu adalah hasil daripada sikap kita terhadap sesuatu pengalaman.
Hakikatnya tidak semua orang memiliki kekayaan akan tetapi tetap ada kenangan yang terpahat di jiwa. Itu adalah harta yang menghubungkan masa lalu dan saat kini. Malah itulah juga cacatan harian yang dibaca semula pada saat pemikiran kita didewasakan oleh pengalaman.
Kalau disimpulkan pada satu perenggan, kenangan itu adalah seperti saat hujan yang mencurah ke bumi. Selepas berdekad dipisahkan oleh garis waktu, maknanya pun berubah. Ternyata yang jatuh itu bukan lagi tetes hujan, tetapi kuntum ingatan masa lalu yang indah dan berguguran di halaman masa kini.