Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
RAMADAN seharusnya menjadi bulan bagi umat Islam untuk mengekang hawa nafsu. Namun sejak kebelakangan ini seakan telah menjadi satu pesta pembaziran makanan ekoran daripada kegagalan menahan nafsu sehingga wujudnya sikap berlebih-lebihan daripada biasa ketika berbelanja.
Bukan hanya pembeli bahkan penjual di bazar Ramadan juga turut menyumbang kepada situasi ini. Jika ia tidak dibendung bermula hari ini maka dibimbangi satu ketika nanti pembaziran akan menjadi budaya yang tidak asing lagi.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud menyarankan agar semua pihak termasuk pengguna dan peniaga Bazar Ramadan Putrajaya untuk lebih berhemah bagi mengurangkan pembaziran makanan.
“Sisa makanan mencatatkan jumlah paling besar dalam komposisi sisa di Malaysia iaitu sebanyak 45 peratus.
“Jumlah pembuangan sisa makanan direkodkan di dalam negara khususnya ketika bulan Ramadan menunjukkan trend pembuangan sisa makanan yang tidak habis dijual oleh peniaga bazar semakin meningkat dengan ketara sebaik sahaja aktiviti berniaga dibenarkan beroperasi semula pada tahun 2021 selepas negara dilanda wabak COVID-19.
“Justeru itu, semua pihak perlu memainkan peranan dalam mengurangkan masalah pembaziran kerana semakin banyak jumlah makanan terbuang, maka kos pengurusan juga akan meningkat,” ujar beliau.
Fadlun berkata peningkatan drastik jumlah sisa pepejal bahan makanan setiap kali Ramadan sangat membimbangkan kerana ia akan mengurangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah sekali gus menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
“Sekiranya dapat dielakkan, ia mampu menjimatkan tenaga dan sumber bagi menguruskan sisa pepejal sekali gus mengurangkan kesan karbon terhadap alam sekitar. Isu sisa makanan bukan sahaja menekan tapak pelupusan sampah tetapi turut meningkatkan ancaman kepada alam sekitar menerusi pelepasan gas metana, iaitu sejenis gas rumah hijau yang memberikan kesan lebih teruk terhadap pemanasan bumi berbanding karbon dioksida.
“Tapak pelupusan menghasilkan gas metana rumah hijau yang 21 kali lebih kuat daripada karbon dioksida dan tujuh peratus gas rumah hijau yang terhasil di seluruh dunia adalah disebabkan oleh sisa makanan.
“Situasi berkenaan bukan sahaja mengancam alam sekitar malah ia juga menyebabkan pencemaran, meningkatkan suhu dunia, mitigasi perubahan iklim dan mengganggu pola cuaca seperti hujan yang akhirnya menyumbang kepada peningkatan bencana seperti banjir,” ujar beliau.
KEMPEN RAMADAN TANPA PEMBAZIRAN
KADAR pembaziran tinggi dan peruntukan besar untuk pengurusan sisa pepejal setiap tahun mendorong pihak PPj mengambil langkah proaktif mengadakan Kempen Ramadan Tanpa Pembaziran pada tahun ini.
“Memandangkan peningkatan peratus sisa makanan adalah ketika bulan Ramadan, kempen dan program seperti Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran perlu diperhebatkan di seluruh negara.
“Usaha tersebut dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menghargai makanan dan tidak sewenangnya melakukan pembaziran terutama ketika di bulan puasa,” ujar beliau.
Sementara itu, Fadlun menyarankan setiap individu untuk merancang kewangan dengan berhemah bagi memastikan tidak berlakunya perbelanjaan secara berlebihan pada bulan Ramadan.
“Melihat kepada peningkatan kos sara hidup, adalah wajar bagi setiap individu menyediakan peruntukan sesuai untuk keperluan perbelanjaan sama ada membeli juadah di bazar Ramadan atau kos menyediakan juadah sendiri.
“Saya rasa sangat tidak wajar dalam keadaan kritikal ini (perbelanjaan musim persekolahan, Ramadan dan Aidilfitri) jika kita berbelanja mahal dan mewah untuk berbuka puasa di luar. Penyediaan bajet sesuai, senarai semak dan berdisiplin ketika berbelanja dapat mengelak pengguna daripada terlebih berbelanja dan mengurangkan pembaziran. Beli mengikut keperluan sahaja,” ujarnya.
Seterusnya, Fadlun turut menyarankan masyarakat untuk menggunakan bekas makanan yang dibawa dari rumah kerana ia bukan sahaja mengurangkan penghasilan sampah terutama plastik membungkus makanan atau polistirena, bahkan dapat mengelakkan pembelian secara berlebihan.
“Pada masa sama, kami selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penganjur Bazar Ramadan Putrajaya akan sentiasa mengambil langkah proaktif dengan memperkasa kempen serta program kesedaran kepada orang ramai bagi mengelakkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan.
“Sambutlah Ramadan dalam kesederhanaan. Perancangan dan kawalan perbelanjaan perlu dijadikan norma baharu supaya sikap boros berbelanja dan pembaziran makanan dapat dielakkan.
“Usahlah membazir. Berjuta orang di Syria, Yaman, Iraq, Palestin, Myanmar, India, Ethiopia, Sudan, Pakistan dan Afghanistan sedang berhadapan dengan kebuluran dan malangnya kita membuang begitu banyak makanan pada bulan yang suci ini,” ujar beliau yang turut berharap para peniaga boleh bekerjasama dalam mencari solusi daripada perkara tersebut terus berlarutan. – WILAYAHKU