Berita

Sindiket rasuah, pengubahan wang haram: 12 individu ditahan, 70 akaun dibeku babitkan RM16.2 juta

- Diterbit 14 Januari 2025 6:39 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan syarikat perunding kewangan dengan pegawai-pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Difahamkan pembongkaran dilakukan di 24 lokasi termasuk rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada 13 Januari dengan penangkapan 12 individu.

Pagi ini seramai 12 indvidu termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan, seorang pengurus dan seorang bekas pengurus jualan institusi perbankan ditahan reman kerana dipercayai terbabit rasuah dan kegiatan pengubahan wang haram melibatkan permohonan pinjaman peribadi daripada beberapa institusi perbankan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua suspek ditahan dalam Op Sky dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan beberapa institusi kewangan tempatan di sekitar Lembah Klang, semalam.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan, dipercayai terdapat pegawai-pegawai di beberapa institusi perbankan menerima rasuah daripada pegawai-pegawai syarikat perunding kewangan sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan pinjaman peribadi pelanggan yang telah dikenal pasti mempunyai hutang lapuk.

“Pegawai-pegawai bank yang terlibat telah mengenal pasti pelanggan-pelanggan yang terdiri daripada penjawat-penjawat awam yang mempunyai hutang lapuk dan seterusnya mereka akan diperkenalkan kepada syarikat perunding kewangan yang akan menawarkan bantuan skim ‘multiple loan’,” katanya.

Jelas beliau, syarikat perunding kewangan ini dipercayai akan membantu menyediakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu yang akan dihantar ke beberapa institusi kewangan untuk mendapatkan pinjaman-pinjaman.

Beliau berkata, hasil siasatan menunjukkan syarikat perunding akan mendahulukan wang kepada peminjam untuk melangsaikan hutang tersebut dan setelah pinjaman diluluskan, peminjam akan membayar balik pendahuluan itu manakala baki pinjaman dilaburkan dalam satu skim pelaburan.

Dalam operasi itu, SPRM turut membekukan 70 akaun syarikat dan individu membabitkan nilai lebih RM16.2 juta, selain turut menyita sembilan unit kenderaan pelbagai jenama terdiri daripada Ferrari F8 Spider, Lexus RC300, Mercedes-Benz GLC43, BMW, Toyota Alphard, Mazda dan Honda.

“SPRM turut menyita wang tunai lebih RM300,000 selain mata wang HK$95,000, 17 utas jam tangan mewah dianggarkan berjumlah lebih RM11.1 juta, lima unit beg tangan berjenama dianggarkan bernilai lebih RM430,000, lima set barang kemas dianggarkan berjumlah lebih RM50,000 serta dua unit komputer riba dan dua unit tablet,” jelas Azam.

Perintah reman selama lima hari sehingga 18 Januari 2024 terhadap 10 suspek lelaki dan dua suspek wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 200. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas