Berita

Sindiket penipuan ubah suai poster ‘Ramadan Bersama Shopee’

POSTER sebenar Ramadam Bersama Shopee
- Diterbit 28 Mac 2025 11:00 AM MYT

SINDIKET penipuan didapati mengubah suai poster ‘Ramadan Bersama Shopee’ dengan meletakkan nombor telefon mangsa kononnya sebagai pemenang dalam peraduan yang diadakan.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ia sebagai modus operandi penipuan baharu yang dilihat mengambil kesempatan menjelang sambutan Aidilfitri ini.

POSTER sebenar Ramadam Bersama Shopee

Menurut beliau, mangsa kemudiannya akan dihubungi oleh pihak sindiket dan diarah mengaktifkan ‘ShopeePayLater’ untuk menebus hadiah kemenangan tersebut.

“Setelah diaktifkan, mangsa akan menerima satu ‘QR’ yang perlu diimbas.

“Sejurus selepas membuat imbasan, mangsa mendapati wang di dalam akaun banknya telah berkurangan.

“Setakat ini satu laporan polis telah diterima di Selangor melibatkan nilai kerugian RM3,006.03,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Rohaimi memberitahu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, menjelang musim perayaan ini, polis percaya pembelian secara dalam talian bakal menjadi salah satu pilihan ramai pengguna.

“Sejumlah 2,328 kes penipuan belian dalam talian dicatatkan pada 1 Januari sehingga 24 Mac lalu melibatkan kerugian RM19,609,563.35.

“Jumlah kes ini merupakan peningkatan 36.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 1,700 kes dengan kerugian RM13,661,526.18,” katanya.

Justeru katanya, bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian, polis mengingatkan semua pihak untuk sentiasa berwaspada. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas