SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil sekurang-kurangnya 20 pegawai bank bagi membantu siasatan selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram.
Perkara itu ditegaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan tindakan tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat ini.
Katanya, ini susulan penahanan empat lagi pegawai bank, kelmarin, selepas SPRM menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan rasuah yang dilakukan pegawai-pegawai institusi perbankan yang membantu memproses serta meluluskan permohonan pinjaman peribadi pelanggan melalui sebuah syarikat perunding kewangan.
“Susulan penahanan tersebut, SPRM akan meneliti data-data berkaitan permohonan pinjaman daripada sistem perbankan bagi membantu siasatan.
“Selain daripada itu, SPRM dalam proses mendapatkan dokumentasi pinjaman daripada institusi perbankan,” katanya pada Ahad.
Semalam media melaporkan empat lagi pegawai bank direman bagi membantu siasatan selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram.
Azam berkata, seramai tujuh daripada 12 orang yang direman lima hari sebelum ini akan dibebaskan manakala lima lagi orang akan dimohon untuk sambung reman.
Penahanan itu menjadikan tangkapan keseluruhan adalah seramai 16 orang.
Menurut laporan, sebanyak 4,000 dokumen dirampas manakala 16 individu membabitkan pegawai bank dan syarikat perundingan akan dipanggil dan kemungkinan ditahan dalam kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dikaitkan dengan organisasi perunding kewangan.
SPRM mendapati sejumlah RM700 juta pinjaman diluluskan kepada 4,000 penjawat awam di mana pinjaman yang diluluskan itu daripada pelbagai bank sejak syarikat berkenaan beroperasi pada 2020. – WILAYAHKU