KLANG – Polis menahan seorang pekerja penghantar makanan selepas menemui dadah ketika sedang menghantar tempahan di Bukit Raja di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 di Jambatan Kota.
“Hasil pemeriksaan polis menemui dadah disyaki syabu seberat 1.14 gram yang dibungkus dalam bungkusan coklat.
“Polis percaya bungkusan coklat itu hanya untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Shamsul Amar berkata, siasatan lanjut terhadap suspek mendapati dia menjadi mangsa sindiket menghantar dadah.
“Dia dimanipulasi sindiket untuk menghantar bekalan dadah kepada pelanggan dengan menggunakan khidmat penghantar makanan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – WILAYAHKU