Berita

Sinar baharu buat industri seni… VIBES International Agency hargai pencipta kandungan TikTok

- Diterbit 16 Mei 2024 4:55 PM MYT

BUAT julung kalinya VIBES International Agency berjaya menganjurkan Appreciation Night Award Live Creator TikTok 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Penganjuran anugerah ini adalah sebagai satu inisiatif untuk menghargai para host TikTok yang bernaung bawah agensi ini. Ia juga sebagai memupuk semangat pencipta kandungan TikTok  untuk tampil dengan idea yang lebih baik dan kreatif.

Menurut Pengasas VIBES International Agency, Datuk Seri Eizlan Yusof, agensinya komited untuk menjadi satu medium menjana pendapatan kepada masyarakat dalam mendepani dunia era digital kini.

“Walaupun agensi ini baru berusia setahun, kami berjaya berkongsi kepakaran dan pengalaman membangunkan kandungan bersama beberapa pencipta kandungan TikTok tempatan dan antarabangsa.

“Antara selebriti tempatan yang berjaya ialah AR Badul, Helmi The Gimmick dan ramai lagi, selain jenama popular tempatan dan antarabangsa,” katanya.

EIZLAN Yusof dan Zed Zaidi menjawab pertanyaan wartawan dalam sesi sidang media

Majlis anugerah ini mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Eco Marine Holdings, KamiSempoi International Agency, Academy Dato’ Stephanie, Yayasan Angkasawan Negara, Koperasi Al Najjah dan Khadim Ummah Holidays.

“Media sosial memainkan peranan yang sangat penting zaman sekarang. Apabila kita mendapat kerjasama dan berkolaborasi dengan agensi-agensi kerajaan, ia bersesuaian dengan modus operandi kami.

“Di mana tujuan kami untuk mendidik orang ramai agar memberikan satu pandangan kepada masyarakat bagaimana cara untuk menggunakan media sosial ini dalam keadaan yang positif.

“Jadi dengan adanya kerjasama seperti ini membolehkan kita mendapat akses yang mudah dalam membantu kerajaan sekaligus memberi input yang positif kepada masyarakat apakah perkara yang patut dan tidak patut  apabila menggunakan media sosial.

“Selain itu, kerjasama VIBES International Agency ini juga adalah salah satu cara untuk kami membantu agensi kerajaan dan juga kementerian dalam menangani isu-isu panas dan sebagainya,” ujarnya.

EIZLAN Yusof

Perasmian malam anugerah itu telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas, Zed Zaidi.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas, Datuk Kolonel Kehormat (PA) Fyzal Fauzy dan Pengerusi Eco Marine Holding, Datuk Seri Alex Teh Chee Teong.

Bagi Zed Zaidi, kerjasama Finas dengan VIBES International Agency secara tidak langsung memberi impak positif kepada industri seni Malaysia.

“Menerusi kerjasama yang terjalin ini, kita boleh membantu dari sudut melahirkan pelapis-pelapis yang mengikuti landasan atau garis panduan yang betul. Di mana mereka tahu prosedur-prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Misalnya tidak boleh menyentuh isu 3R iaitu berkaitan agama, kaum dan raja, dalam kalangan TikTokers ini.

“Kebanyakan TikTokers ini berbakat dan melahirkan content yang terbaik. Tugas Finas salah satunya  kita membantu melahirkan bakat yang lebih profesional terutamanya  untuk masa depan industri kita.

“Daripada situlah akan muncul bantuan-bantuan tertentu daripada Finas seperti geran untuk mereka buat bengkel, filem pendek dan sebagainya.

“Jadi di sini jelas peranan kita untuk membantu lahirkan  pelapis-pelapis mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dan tidak menggunakan 3R bagi kandungan-kandungan yang  mereka cipta,” jelasnya.

ZED Zaidi (dua dari kanan) mewakili Finas ke Appreciation Night Award Live Creator TikTok 2024

Dalam masa yang sama Zed berkata, kepentingan TikTok dan industri seni adalah seiring.

“Kita dah menuju ke zaman teknologi yang lebih canggih terutamanya media sosial seperti TikTok.

“Kalau dulu nak hadiri sesi uji bakat, kena cari iklan itu di surat khabar, tapi hari ini mereka dah ada platform TikTok sendiri.

“Mereka boleh pamerkan bakat mereka di TikTok dari segi lakonan, nyanyian dan sebagainya. Kemudian bakat tersebut membolehkan  mereka ‘dilamar’ untuk masuk industri seni,” tambahnya lagi.

Sempena Appreciation Night Award Live Creator TikTok 2024, Eizlan turut mengumumkan bakal bekerjasama dengan agensi umrah, Khadim Ummah melalui beberapa pakej umrah akan datang.

Terdahulu pada majlis itu, seramai 64 pencipta kandungan TikTok diumumkan sebagai penerima anugerah daripada 10 kategori yang dipertandingkan.

Setiap penerima anugerah menerima pelbagai hadiah menarik antaranya dari Annisa Batik, Koperasi Al Nakah, Glamboot malah tajaan penginapan 4 hari 3 malam ke Krabi, Thailand oleh EDS Travel. – WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas