Berita

Simpan bahan mentah dalam tandas: KKM pandang serius isu pengendalian makanan

- Diterbit 10 Oktober 2024 10:35 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memandang serius beberapa isu tular di media sosial berkaitan pengendalian makanan dengan cara tidak bersih seperti menggunakan air parit bagi mencuci periuk dan menyimpan bahan mentah sayur-sayuran di dalam tandas.

Menurut kementerian itu, melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa terhadap premis makanan bagi memastikan pematuhan kepada Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Dalam hal ini, KKM mengingatkan dan menegaskan kepada semua pengusaha premis makanan dan pengendali makanan untuk sentiasa mengamalkan amalan baik semasa pengendalian makanan dan mematuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Ini termasuklah membersihkan peralatan menggunakan sumber air yang bersih, menyimpan bahan mentah dan makanan di tempat yang selamat dan pada suhu yang betul serta mengamalkan kebersihan diri yang optimum semasa mengendalikan makanan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

KKM menambah, di samping itu, adalah menjadi tanggungjawab pengusaha premis makanan untuk memastikan semua pekerja menghadiri Latihan Pengendali Makanan di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf kementerian serta mendapatkan vaksinasi anti-tifoid.

Katanya, orang ramai pula dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memilih tempat makan dan sentiasa memastikan makanan yang diambil adalah bersih dan selamat.

“Sebelum membeli, ‘perhati dan pilih’ serta amalkan ‘lihat hidu rasa’ kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan.

“Dalam hal ini, KKM akan terus menjalankan advokasi dan memantau serta mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan keselamatan makanan di negara ini terjamin,” katanya.

Menurut KKM, sepanjang tahun ini, pihaknya melaksanakan program Walkabout BeBAS iaitu ‘Premis Bersih, Bebas Asap’ yang memberikan penekanan kepada dua komponen utama iaitu pematuhan kepada peraturan kebersihan premis makanan dan peraturan berkaitan larangan merokok di premis makanan.

Katanya, ia merupakan simbolik persefahaman dan kerjasama di antara pengusaha premis makanan dengan agensi kerajaan, agensi swasta, rakan sukarelawan, badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) serta menitikberatkan konsep pemerkasaan masyarakat dalam memastikan kedua-dua peraturan dipatuhi.

Terkini katanya, sebanyak lapan lokasi program Walkabout BeBAS telah dilaksanakan dan akan diteruskan di semua negeri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas