KAWAN-KAWAN Kedai Kopi memuji sikap Perdana Menteri‚ Datuk Seri Anwar Ibrahim‚ yang tegas tidak mempedulikan bantahan golongan elit terhadap pembinaan rumah untuk rakyat berpendapatan rendah di kawasan kediaman mereka.
Anwar kesal kerana setiap kali hendak dibina perumahan untuk golongan berpendapatan rendah‚ ada sahaja bantahan. Alasannya ia akan menyebabkan pertambahan kepadatan penduduk dan ‘mengganggu’ kawasan kediaman elit.
Pada hemat kawan-kawan Kedai Kopi‚ sikap sebegini sangat tidak wajar kerana golongan elit seolah-olah hendak mewujudkan jurang pemisah dengan golongan berpendapatan rendah‚ walhal semua kategori rakyat Malaysia daripada pebagai kaum mesti hidup aman damai bersama-sama.
Tidak harus ada rasa iri hati bak kata Perdana Menteri‚ kalau pembinaan rumah mampu milik untuk golongan ini dibantah‚ di mana mereka hendak tinggal?
Yang kaya tiada masalah membeli rumah berharga ratusan ribu atau jutaan ringgit. Namun rumah seperti ini di luar kemampuan golongan berpendapatan rendah. Kerana itu mereka perlukan kediaman mampu milik untuk berlindung daripada panas dan hujan.