KETIDAKADILAN dalam kepemimpinan sering kali menimbulkan konflik, penindasan malah perpecahan dalam kalangan masyarakat mahupun di dalam sesebuah organisasi. Tanpa keadilan, kepercayaan dan kerjasama, ummah dan organisasi sulit dibangunkan yang akhirnya menghambat kesejahteraan bersama.
Menurut pendakwah, Abdul Qayyum M.Suhaimi menjelaskan asas kepada hubungan yang baik dan perpaduan masyarakat adalah kepercayaan dan pengiktirafan masyarakat kepada seseorang.
“Apabila seseorang itu dipercayai dan dihormati, maka proses untuk keharmonian masyarakat itu serta kerjasama erat dalam sesebuah organisasi lebih mudah untuk dicapai sekali gus membentuk perpaduan.
“Kita boleh lihat kepada sejarah bagaimana masyarakat Arab Quraisy yang bertelagah untuk meletakkan kembali batu Hajar Aswad ke tempat asalnya selepas bencana, mereka memilih untuk menerima keputusan sesiapa sahaja orang pertama yang masuk ke kawasan Kaabah dan apabila Baginda Ar-Rasul SAW yang memasukinya dengan tanpa perselisihan, mereka terus bersama-sama mempersetujui sebarang cadangan yang akan diberikan oleh Baginda,” katanya kepada Wilayahku.
Menurut Abdul Qayyum, ibrah yang boleh diambil dari peristiwa ini adalah bagaimana kerjasama dan perpaduan itu boleh dicapai jika kepimpinan dan ketua itu adalah seorang yang dipercayai dan diyakini kemampuan memimpin dan berlaku adil.
“Langkah pertama untuk menghasilkan masyarakat atau organisasi yang berpadu dan harmoni adalah dengan sikap dan sifat pemimpin yang mesti berlaku adil dan dilihat berlaku adil,” katanya.
Abdul Qayyum berkata, Al-Quran dan Hadis sangat menekankan kepentingan hubungan baik dengan orang lain berikutan matlamat kehidupan Islam, terdapat tiga bentuk hubungan yang perlu dijaga oleh semua orang.
“Islam menekankan hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan alam seperti di dalam Al-Quran surah al Hujurat ayat 13 menyatakan bagaimana Allah menjadikan manusia lelaki dan wanita serta dengan kepelbagaian bangsa dan agama agar saling kenal mengenali.
“Ayat ini jelas menunjukkan bahawa perbezaan kejadian manusia ini sebagai satu bentuk rahmah yang perlu kita semua fahami untuk menjadi manusia yang lebih bertoleransi.
“Dalam hadis riwayat Ahmad, Al-Bukhari dan At-Tirmizi menukilkan sabda Baginda Rasulullah SAW bahawa tidak seseorang itu digelar al-wasil (penyambung silaturahim) apabila dia bersifat al-mukafi’ yakni orang yang menyambung silaturahim jika saudaranya menyambungnya dan akan memutuskan apabila mereka memutuskannya, akan tetapi al-wasil itu adalah mereka yang apabila terputus silaturahim, mereka segera menyambungkannya,” katanya.
Kata beliau, hadis ini jelas menunjukkan bahawa kepentingan menjaga hubungan sesama manusia dan segera memperbaiki hubungan apabila semakin merenggang.
“Akibat pengabaian konsep menjaga hubungan sesama manusia ini, akan merosakkan kelancaran dan kelicinan perjalanan organisasi. Fitrah manusia jika ada yang bersifat tidak menghormati orang lain, lama-kelamaan sifat itu mampu mempengaruhi orang lain untuk turut sama mempunyai sifat tersebut dan akan merosakkan sesebuah organisasi,” katanya.
Menurut Abdul Qayyum, konsep ‘ummah’ (masyarakat) adalah suatu konsep kemanusiaan yang digariskan oleh agama Islam.
“Dalam sejarah pentadbiran Islam, piagam Madinah yang diasaskan oleh Baginda Nabi SAW pada tahun 622M mempunyai 47 fasal. Apa yang menarik adalah berkenaan fasal hubungan ummah mempunyai 24 fasal dan melebihi daripada fasal berkaitan peranan sesama umat Islam. Fasal-fasal berkenaan ummah digariskan oleh Nabi SAW di dalam Piagam Madinah sebagai suatu konsep kehidupan bersama.
“Berdasarkan kepada asas ayat Al-Quran di dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang menunjukkan kepelbagaian bangsa dan kaum, ada beberapa asas persamaan serta hak dan tanggungjawab bersama apabila hidup dalam kumpulan yang sama.
“Konsep ummah mampu menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan agama untuk bergerak sebagai sebuah pasukan yang utuh. Jika konsep ini tidak diamalkan dalam kehidupan, maka perpecahan dan perselisihan akan terjadi,” katanya.
Ujar beliau, konsep kepimpinan melalui teladan, thiqah dan kepercayaan pengikut kepada pemimpin perlu diperolehi atas kerja baik yang dilakukan oleh pemimpin dan pelbagai lagi asas lain kekal menjadi peraturan penting dalam memastikan organisasi secara keseluruhannya dapat berkembang dengan baik.
“Hadis Nabi SAW berkaitan kepimpinan juga merujuk kepada semua orang adalah pemimpin dan serendah-rendah tahap kepimpinan adalah pemimpin kepada diri sendiri.
“Konsep ini jelas menunjukkan kepentingan sifat kepimpinan yang perlu ada dalam diri kita untuk memberikan kesan yang positif kembali kepada organisasi kita.
“Kita semua perlu percaya dan yakin, kepimpinan yang baik menghasilkan pengikut yang baik dan akhirnya akan menatijahkan organisasi yang baik seterusnya membentuk kesejahteraan yang holistik bagi keseluruhan personal yang terlibat dalam sesebuah organisasi itu,” katanya. – WILAYAHKU