Agama

Sifat dan jati diri Muslim berdepan Ramadan

- Diterbit 13 Mac 2025 5:47 PM MYT

PROFESOR MADYA DR KHADHER AHMAD

KETIBAAN bulan Ramadan merupakan tempoh waktu yang ditunggu-tunggu oleh orang Islam. Bulan Ramadan merujuk kepada satu ketetapan ibadah yang diwajibkan untuk semua orang Islam berpuasa iaitu menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan amalan puasa berkenaan.

Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Sebagai seorang Muslim, kedatangan bulan Ramadan amat perlu disyukuri kerana bulan ini satu-satu bulan di mana umat Islam diperintah untuk mengerjakan ibadah puasa secara menyeluruh.

Sama ada dari kalangan orang kaya atau fakir dan miskin, tanpa mengira bangsa dan keturunan. Sehingga boleh dikatakan bahawa bulan Ramadan adalah
satu pesta ibadah untuk seluruh umat Islam.

Sebagai orang Muslim yang taat kepada perintah Allah dan berusaha merealisasikan ajaran Nabi Muhammad SAW, Ramadan menjadi satu wadah ibadah yang sangat penting. Hal ini kerana pelbagai saranan yang dituntut untuk kita lakukan pada bulan ini.

Bahkan, sehingga ada amalan atau perkara yang diminta untuk kita kejar dan berusaha untuk mendapatkannya seperti berusaha mencari lailatulqadar pada 10 malam terakhir yang merupakan satu kesempatan yang hanya ada pada bulan ini sahaja.

Selain daripada menunaikan kewajipan ibadah puasa yang difardukan itu, sepanjang bulan Ramadan dituntut untuk kita melaksanakan solat tarawih, melakukan qiamullail setiap malam, bertilawah Al-Quran dan kalau boleh sehingga dapat khatam sepanjang Ramadan, membanyakkan sedekah khususnya menjamu makan orang yang berpuasa berbuka puasa, menginfak harta dan tenaga dan sebagainya lagi.

Sebab itu kita boleh gambarkan bulan Ramadan merupakan bulan pesta dalam ibadah bagi umat Islam.

Walaupun demikian sebagai seorang Muslim, ketika menghampiri bulan Ramadan dan berada di dalam bulan ini, apakah kita telah mempersiapkan diri untuk bulan ini?

Dari itu ada beberapa perkara yang boleh untuk kita sama-sama bersiap sedia bagi memastikan bahawa bulan Ramadan tahun ini adalah bulan yang terbaik dalam meraihkan pesta ibadah yang dimaksudkan. Pada masa yang sama dapat mencapai nilai ketakwaan yang dijanjikan pada bulan ini.

Berada di dalam bulan Ramadan, doa yang Nabi SAW sentiasa panjatkan adalah: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Pemurah dan suka mengampuni, maka ampunilah aku”. Doa ini boleh dibaca sepanjang bulan Ramadan.

Jadi sebagai orang beriman, bulan puasa adalah ruang dan peluang keemasan yang ditunggu-tunggu bersama dengan perancangan yang disusun atur bagi memaksimunkan
ibadah dalam bulan ini.

Bahkan juga merancang untuk tidak melakukan kejahatan, kemungkaran dan kezaliman kepada orang lain, termasuk kepada binatang sekalipun.

Mungkin peluang bulan Ramadan ini digunakan untuk mengerjakan umrah yang mana pahala mengerjakan umrah pada bulan ini adalah sama dengan pahala mengerjakan ibadah
haji.

Justeru sangat wajar kita merancang untuk melakukan pelbagai amalan yang dapat melipatgandakan pahala di bulan ini termasuk amalan-amalan khusus yang sangat disarankan
yang hanya ada pada bulan ini sahaja seperti solat tarawih, membayar zakat fitrah, mencari lailatulqadar dengan melakukan qiamullail pada 10 malam terakhir atau melazimi setiap malam sepanjang Ramadan, bersahur dan sebagainya lagi.

Hal ini kerana antara amalan-amalan itu, hanya dapat dilakukan pada bulan Ramadan, tidak pada bulan-bulan yang lain.

Selain itu memasang niat yang ikhlas kepada Allah SWT dalam melakukan apa sahaja sepanjang bulan Ramadan.

Bahkan meletakkan dalam hati bahawa kemungkinan Ramadan ini adalah Ramadan terakhir, dan kemungkinan tiada lagi Ramadan bagi kita selepas ini. Hal ini kerana, sebagai seorang Muslim, kita tidak dapat menjamin sama ada kita masih hidup atau bila akan mati.

Semuanya di bawah ketentuan Allah SWT. Jadi, sebagai hamba yang taat dan patuh, kita akan bertekad sepenuh jiwa untuk meraih sebanyak mungkin pahala pada bulan ini atas alasan bahawa ia adalah peluang terakhir yang kemungkinan selepas ini tiada lagi penuh seperti ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas