Berita

Sifar toleransi terhadap isu rasuah – Maimunah

- Diterbit 15 Ogos 2024 6:03 PM MYT

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr. Dr Maimunah Mohd Sharif memberi amaran bahawa sifar toleransi terhadap rasuah.

Menurut Maimunah, beliau mahu menjadikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lebih berintegriti, berakauntabiliti dan telus.

“Ia sangat penting untuk kita menjaga Integriti, akauntabiliti serta telus dalam menjalankan tugas supaya lebih eifisien dan efektif,” katanya.

Beliau berkata demikan pada satu sidang akhbar selepas merakam waktu masuk kerja pertama selaku Datuk Bandar Kuala Lumpur di Menara DBKL hari ini.

Tambah Maimunah, beliau turut mengharapkan kerjasama daripada semua pihak termasuk kakitangan DBKL dalam memerangi gejala rasuah secara habis-habisan.

“Saya difahamkan terdapat kes membabitkan pegawai dan penguat kuasa DBKL.

“Saya telah berbincang dan memberikan arahan kepada semua kakitangan dbkl untuk bantu saya, saya seorang tidak boleh melakukannya.

“Saya juga meminta ketua-ketua jabatan dan pengarah eksekutif untuk pantau dan beri pendidikan selain bekerjasama dengan rakan agensi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujarnya.

Jelas Maimunah, beliau mahu jadikan DBKL sebagai sebuah PBT yang berintegriti tinggi justeru tidak akan bertoleransi terhadap jenayah rasuah.

“Kita mendidik bahawa gejala rasuah itu adalah salah, kemudian kita ambik tindakan, tapi kalau sampai satu tahap, membimbangkan saya tidak teragak-agak untuk ambil tindakan, sebab kita ingin jadikan DBKL satu PBT yang berintegriti tinggi.

“Ia juga berbalik kepada kesedaran individu, sebab bila ambil rasuah sekali, ia akan mengulangi perbuatan tersebut, sebab jati diri itu hilang.

“Saya beri amaran keras, jangan ambil rasuah, saya tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan jika ada bukti sah,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas