BAGI menamatkan sebarang spekulasi tidak jelas berkenaan kes membabitkan Siti Nordiana, peguam yang mewakili penyanyi Lan Solo, isterinya Sheila Razlan dan Syura Badron, peguam mengadakan sidang media khas hari ini, selepas prosiding akhir mahkamah pada Selasa.
Menurut peguam, Azlan Abdul Razak, beliau mengadakan sidang media tersebut atas permintaan Syura, Lan dan Sheila bagi membetulkan persepsi awam berkenaan kes mereka.

“Tujuan sidang media ini ialah membetulkan persepsi awam berhubung kes yang berlangsung sejak 2021 dan bukan untuk mengkritik mana-mana individu.
“Kes ini sudah lupus (selesai) dan semua boleh meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa perlu naik turun mahkamah,” katanya dalam sidang media yang diadakan di kediaman Lan dan Sheila di Kampung Sri Aman, Puchong, Selangor.
Penyanyi Syura turut bersama dalam sidang media yang dihadiri kira-kira 20 wakil media.
Tambah Azlan keputusan yang dicapai itu berdasarkan tiga terma yang dipersetujui kesemua pihak defendan dan plantif iaitut iada apa-apa pengakuan siapa betul atau salah kerana masing-masing sudah setuju untuk meminta maaf dan memaafkan.
Kedua, plaintif tidak mempunyai kebebasan untuk failkan semula perintah atau tidak boleh failkan semula kes ini di atas dasar yang sama.
Ketiga, tiada sebarang perintah mahkamah untuk mana-mana pihak membuat sebarang pembayaran dan kos.
Sementara itu, Lan berkata dia dan rakan-rakannya menyambut baik keputusan yang dicapai semalam dan meneruskan hidup serta kerjaya seni masing-masing.
“Alhamdulillah semua sudah selesai dan memang ini yang kami cadangkan sejak peringkat awal semasa proses mediasi namun tidak mencapai kesepakatan ketika itu,” katanya.
Syura menambah, pihak mereka sentiasa bersedia untuk memohon maaf dan mengakui kekhilafan yang berlaku.
“Cuma apabila ada pembayaran yang terlalu tinggi dituntut membuatkan kami terpaksa teruskan ke mahkamah,” katanya.
Lan dan Syura berkata, sidang media itu bagi menjelaskan kepada semua pihak selepas mereka akur dengan arahan peguam untuk tidak membuat sebarang kenyataan sepanjang lebih dua tahun kes berlangsung.
Kes saman fitnah RM2.5 juta dikemukakan penyanyi Siti Nordiana Alias terhadap lima sekawan iaitu penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya, Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 38, isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.
Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43. – WILAYAHKU