Artikel

Sidang Belia Wilayah Persekutuan angkat suara anak muda

- Diterbit 18 November 2024 5:41 PM MYT

DALAM ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Kedua, Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP), Penggal 2024, Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menegaskan isu-isu yang dibahaskan setiap Ahli Yang Berhormat perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Biarpun dizahirkan oleh anak muda, menurutnya, ia mencerminkan realiti dan keperluan sebenar masyarakat secara keseluruhannya.

Untuk itu beliau menegaskan, ia menjadi asas penting dan rasional untuk meneruskan SBWP sebagai platform berwibawa, mengangkat suara dan hasrat generasi muda ke persada yang lebih tinggi.

Dari Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan, ia juga medan menyatukan anak muda di lapangan yang berbeza kehendak serta keperluannya.

Antara isu-isunya, pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok, apa nasib projek monorel Putrajaya sehingga kualiti hidup penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara, tak terkecuali menariknya apabila wakil Putrajaya membangkitkan cadangan mewujudkan teksi air bagi melengkapi sistem pengangkutan awam di pusat pentadbiran negara itu.

Hal demikian kerana tasik-tasik yang ada di Putrajaya itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas di Putrajaya terutama isu tempat letak kenderaan, mungkin tidak hari ini tetapi pada masa mendatang.

Membuka bicara sesi penggulungan, Zaliha menghargai keprihatinan wakil belia terhadap isu Palestin yang jelas dizahirkan melalui pembentangan usul khas berkenaan pelucutan keanggotaan rejim zionis Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Keputusan untuk meluluskan usul ini mencerminkan kesatuan pendirian SBWP dalam menyuarakan sokongan terhadap hak-hak rakyat Palestin yang tertindas sejak berkurun lamanya.

“Sebagai tanda hormat kepada komitmen Ahli-Ahli Yang Berhormat, usul ini akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada pendirian rasmi Wilayah Persekutuan sejajar dengan langkah yang telah diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 November lalu iaitu untuk menggesa penyingkiran Israel daripada PBB di atas pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia terhadap Palestin.

“Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Malaysia kini menyertai kumpulan utama yang menyediakan draf resolusi untuk dibentangkan di Perhimpunan Agung PBB (UNGA), yang bertujuan mendapatkan pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai obligasi Israel dalam membenarkan akses PBB dan agensi antarabangsa ke Palestin,” katanya.

Sesi penggulungan itu dipengerusikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari selaku Speaker.

Mesyuarat kedua SBWP Penggal 2024 itu menyaksikan 16 usul dibentangkan, dengan 13 usul diterima dan tiga ditolak.

ISU MONOREL PUTRAJAYA

MENYENTUH mengenai isu monorel Putrajaya, Zaliha berkata ia sememangnya merupakan perkara yang tidak menjadi keutamaan kerajaan buat masa ini.

“Saya yakin ini bukan satu kebetulan, sebaliknya merupakan bukti kematangan fikiran Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam menilai keutamaan dan keberkesanan sesuatu cadangan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara yang mampan.

“Walaupun projek monorel tidak diteruskan namun pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) telah meneliti usaha melakukan re-purposed bagi fasiliti di bawah projek monorel ini,” katanya.

Menurut beliau, idea wakil Putrajaya supaya diperkenalkan teksi air merupakan idea yang baik.

“Nak menghidupkan semula projek monorel itu satu belanja yang besar. Kita setuju untuk melihat bagaimana kita perlu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

“Cadangan teksi air, kita perlu sediakan jeti-jeti untuk berlabuh dan ia memerlukan kajian dan bajet tertentu dan paling penting menggalakkan pegawai-pegawai kerajaan menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

LABUAN ASET PENTING

MENGENAI isu memperkasa Labuan sebagai Hab Digital Borneo dan membangunkan Sektor Ekonomi Biru melalui kerjasama dengan Sabah, Zaliha berkata beberapa langkah strategik telah digariskan.

Katanya, Labuan dengan kedudukannya yang strategik sebagai pusat perdagangan dan kewangan antarabangsa berpotensi besar untuk menjadi hab digital utama di rantau ini sekali gus menjadikannya pintu masuk ekonomi baharu bagi Malaysia.

“Rancangan Struktur Labuan 2040 yang dilancarkan pada Januari lalu menjadi panduan utama dalam merangka dasar pembangunan fizikal, ekonomi, alam sekitar dan sosial di Labuan.

“Dokumen ini telah menetapkan visi pembangunan Labuan menjelang 2040 dengan penekanan kepada pembangunan mampan dan berdaya saing,” katanya.

Beliau turut menjawab persoalan dibangkitkan wakil Labuan mengenai projek pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok yang sudah sekian lama diperkatakan.

Jelas Zaliha, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan menjalankan kajian mengenai projek itu dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

Berkenaan potensi ekonomi biru di Labuan, katanya, ia mengambil kira kekangan yang dihadapi, Labuan memerlukan rakan strategik.

“Melalui kerjasama dengan Sabah, sektor ekonomi biru ini dapat dikembangkan termasuk inisiatif pemuliharaan marin dan peningkatan pelancongan serta pengangkutan laut, yang dapat merangsang peluang pekerjaan dalam pemprosesan makanan laut dan logistik. Sementara itu, penggunaan teknologi digital akan memperkukuh infrastruktur dan menambah nilai ekonomi biru melalui pengurusan sumber yang lebih efisien.

“Menyedari infrastruktur digital memerlukan bekalan elektrik yang stabil, JWP telah menubuhkan Pasukan Khas bagi mengatasi isu asas seperti bekalan elektrik, air dan meningkatkan capaian Internet,” katanya.

Beliau turut menegur seorang wakil Labuan yang mengeluarkan kata-kata ugutan berbunyi Jangan sampai Sabah ambil balik Labuan.

Untuk itu jelasnya, kenyataan berbaur ugutan seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana Labuan berkongsi satu semangat, satu matlamat dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya dan tanpa Labuan, Wilayah Persekutuan tidak akan lengkap.

PPR KOMUNITI RENTAN DI KL

SEPERKARA menarik mengenai isu yang dibangkitkan adalah fokus membangunkan kualiti hidup penduduk di kawasan PPR.

Jelas Zaliha, golongan itu merupakan antara komuniti paling rentan di Kuala Lumpur dan sidang mencadangkan peluasan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) secara menyeluruh.

IPR merupakan inisiatif yang memerlukan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan juga Kementerian Ekonomi.

Ia bertujuan memperkukuh sokongan ekonomi bagi komuniti tersebut melalui tiga inisiatif utama iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN); Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

“Program IPR ini akan diteruskan sebagaimana yang disebut dalam ucapan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri iaitu dengan peruntukan RM250 juta.

“Selain itu, pengenalan kursus kemahiran dan pendedahan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) adalah penting untuk memastikan penduduk PPR memperoleh kemahiran baharu yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas