SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang melakukan siasatan berhubung kes tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang telah diberikan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.
SPRM dalam kenyataan menjelaskan siasatan dilakukan berdasarkan maklumat Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Ogos lalu selain berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Hasil dua laporan tersebut mendedahkan terdapat beberapa kelemahan antaranya aspek capaian liputan jalur lebar yang rendah, kelemahan teknologi infrastruktur, lokasi sekolah selain capaian jalur lebar yang tidak menyeluruh.
“Terdapat juga maklumat awam serta aduan daripada pihak tertentu mengenai projek ini yang gagal memberikan capaian jalur lebar dengan kelajuan sebagaimana dikehendaki dalam membantu proses pembelajaran di sekolah yang lebih efisien,” katanya.
Menurutnya, siasatan SPRM adalah berdasarkan aduan yang diterima melibatkan beberapa dakwaan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang melanggar peruntukan undang-undang termasuk Akta SPRM 2009.
“Tender perkhidmatan 1BestariNet pada asalnya dirancangkan untuk tempoh 15 tahun membabitkan jumlah RM4.07 bilion, namun dipendekkan kepada tujuh tahun enam bulan tanpa ada pengurangan dari segi nilai kontrak.
“Walaupun perkhidmatan yang diberikan tidak mencapai matlamat, difahamkan masih ada beberapa tuntutan yang dibuat oleh syarikat berkenaan kepada pihak kementerian terbabit,” jelasnya.
Tambahnya, difahamkan sehingga kini kerajaan terpaksa menanggung beban kewangan sebanyak RM176 juta yang dituntut oleh syarikat tersebut.
“Walau bagaimanapun maklumat tuntutan tersebut belum dapat disahkan oleh kerajaan selain kerugian sewaan pencawang telekomunikasi bagi tempoh lima tahun sejak 2019 yang dianggarkan berjumlah RM10.8 juta.
“Justeru itu, tidak timbul isu mengapa siasatan dibuat setelah projek 1BestariNet ditamatkan pada 2019 kerana menjadi tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan secara profesional apabila mendapat maklumat baharu,” tegasnya. – WILAYAHKU