Berita

Siasatan kes 1BestariNet: SPRM sudah jumpa Maszlee minggu lalu

- Diterbit 29 September 2024 11:22 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah bertemu dengan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi mendapatkan maklumat lanjut terhadap siasatan kes projek 1BestariNet.

Sumber memaklumkan, pertemuan bersama pegawai penyiasat SPRM itu berlangsung minggu lalu.

“Siasatan masih dijalankan termasuk tindakan SPRM mendapatkan dokumen berkaitan dan keterangan beberapa individu,” katanya pada Ahad.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Wilayahku mengesahkan mengenai perkara itu.

Beliau sebelum ini berkata, siasatan dijalankan terhadap kes itu akan melihat kepada pembekalan data internet terhadap 8,000 sekolah di seluruh negara.

Azam berkata, mengikut kontrak 1BestariNet, perkhidmatan internet perlu dibekalkan kepada sekolah di seluruh negara mengikut kelajuan dan jumlah data yang ditetapkan.

SPRM telah memulakan siasatan terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan bernilai RM4 bilion.

Tender itu dianugerahkan kepada sebuah syarikat pada 2011.

Terdahulu dalam kenyataannya pada 6 September lalu, Maszlee mendedahkan isu membabitkan 1BestariNet menjadi antara faktor peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan pada 2020. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas