KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia mengaktifkan pengoperasian Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) dan aplikasi mudah alih Sistem eBencana bagi menghadapi Monsur Timur Laut (MTL) yang dijangka berteruskan sehingga Mac depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata BiGBen berfungsi sebagai pusat sehenti maklumat bencana membabitkan aset seliaan JKR Malaysia di sepanjang Jalan Negeri dan Jalan Persekutuan.
“BiGBen menyediakan maklumat komprehensif kepada orang awam berkaitan maklumat bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap
dan jambatan rosak atau runtuh.
“Antara manfaat utama adalah maklumat berkenaan
penutupan jalan serta informasi laluan alternatif membolehkan pengguna jalan raya merancang perjalanan semasa musim tersebut.
“Applikasi Sistem eBencana JKR pula adalah sebuah platform bersepadu yang mengintegrasikan data di Laman Pengurusan Bencana (bencana.jkr.gov.my) untuk
diakses terus ke telefon bimbit, aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma di App Store dan Google Play,” kata Alexander.
BiGBen diterajui Sekretariat Bilik Gerakan Bencana JKR Malaysia yang terdiri daripada warga kerja JKR di Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur dengan kolaborasi JKR Negeri dan JKR Daerah yang berperanan mengemaskini maklumat bencana menerusi Laman Rasmi Pengurusan Bencana.
Pengoperasian BiGBen dikategorikan dalam tiga peringkat bergantung kepada situasi semasa bencana
iaitu peringkat Sistem Amaran Awal, peringkat Pusat Komunikasi Bersepadu dan peringkat Pusat Tindakan Cepat.
“Pengoperasian BiGBen dan Sistem eBencana JKR secara bersepadu ini bermanfaat bukan sahaja untuk kegunaan orang awam, malah berupaya menjadi sumber rujukan kepada semua pihak berkepentingan terutama kepada agensi terbabit untuk tindakan penyelarasan dan pengurusan bencana negara yang lebih
efisien.
“Bagi pengguna yang perlu menggunakan jalan raya semasa musim monsun , boleh merancang perjalanan yang lebih selamat dan selesa melalui semakan status laluan jalan raya menerusi laman sesawang bencana.jkr.gov.my, aplikasi eBencana, facebook BiGBen dan akaun X Cawang Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (https://x.com/@CSFJ_JKR),” katanya. – WILAYAHKU