Berita

Shuib sangkal dakwaan bermewah, tunai umrah guna duit Perkeso pekerja

- Diterbit 16 November 2024 8:20 AM MYT

PELAWAK dan usahawan, Shuib menyangkal dakwaan bermewah dan bermegah termasuk menunaikan ibadah umrah baru-baru ini menggunakan wang caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial ( Perkeso) kakitangannya.

Menurut Shuib, dia tahu setiap wang keluar masuk ke dalam koceknya dan keluarga.

Shuib yang juga pemilik rangkaian kedai minuman Bubble Bee, berkata dia menjaga dan berjanji kepada diri sendiri untuk tidak mengambil hak orang lain.

“Saya sangkal dakwaan mengatakan bermegah dan bermewah hasil kepayahan pekerja.

“Saya amat menjaga bab itu dan berjanji pada diri tidak mengambil hak orang. Ini urusan perniagaan, orang biasa mungkin tak tahu.

“Ada yang tuduh saya gunakan wang caruman Perkeso untuk pergi umrah, itu adalah fitnah yang tidak berasas dan salah.

“Saya adalah orang yang menguruskan kematian arwah isteri (Siti Sarah), saya nampak bila kita meninggal dunia tak ada apa yang kita bawa melainkan kain kapan.

“Barang kemas, duit semuanya akan ditinggalkan jadi untuk apa saya ambil hak orang di dunia ini,” kata Shuib yang ditemui pada majlis sidang media Bocey Comeback Live In Singapore.

Menurut Shuib lagi, dia mengaku 2024 bukanlah tahun yang baik untuk perniagaanya kerana banyak prosiding mahkamah yang bakal berlansung.

Tetapi perniagaanya masih belum gagal dan dia optimis dengan perancangan syarikatnya untuk 2025.

“Saya percaya tahun ini adalah tahun agak tidak baik untuk saya dan syarikat, tapi saya anggap cabaran yang baik.

“Kami ada banyak perancangan tahun depan, pekerja saya pun nak saya ‘fight’ hingga perniagaan ini kembali pulih.

“Bubblebee bukan peniagaan yand diboikot, permintaan terutama Sabah , Sarawak sangat tinggi, saya pun terkejut jualan yang dibuat team saya di sana cuma di bahagian pengurusan saja agak kurang baik,” katanya.

Sementara itu, Shuib bersedia untuk turun naik mahkamah dan tidak akan sesekali melarikan diri sebaliknya memberikan kerjasama yang baik.

Isnin lalu, Shuib berdepan denda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, Isnin lalu atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pada Khamis, syarikat Bubblebee Sdn Bhd milik Shuib didakwa di Mahkamah Sesyen di Shah Alam atas 18 pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), sepanjang tahun lalu.

Syarikat minuman dan dua pengarahnya, yang diwakili Shuib atau nama penuh Shahmira Muhamad, 40, dan Koh Choon Guan, 33, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rasyihah Ghazali.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas