Berita

Shuib bakal ambil tindakan ke atas pemilik akaun TikTok

- Diterbit 18 November 2024 12:32 PM MYT

PELAWAK dan usahawan Shuib bakal mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang pengguna TikTok kerana mengeluarkan kenyataan melampui batas terhadap perniagaanya.

Menurut Shuib atau Shahmira Muhammad, 40, dia sebenarnya malas untuk menghadap pemfitnah kerana yakin mereka akan terketar-terketar menghadapnya.

Tapi sekiranya tindakan tidak dibuat , pelaku akan merasakan mereka paling betul dan bijak.

“Bila bercerita mengenai sesuatu jenama, seseorang atau pengasas produk, kita kena fikir apa kesannya kepada orang atau jenama yang diperkatakan itu.

“Kalau kesannya sangat tidak baik dan boleh mendatangkan kerugian, saya rasa perlu ambil tindakan kerana tidak adil untuk saya dan syarikat.

“Ini kerana tuduhannya tak berasas. Kalau dia boleh datang dengan asas yang betul, saya rasa dia boleh menang.

“Tapi bila saya baca, nampak dan dengar apa yang dia ulas, saya boleh kemukakan fakta dengan asas yang saya rasa kukuh untuk pertahankan syarikat saya,” kata Shuib yang ditemui pada majlis sidang media Bocey Comeback Live In Singapore di sini semalam.

Menurut Shuib lagi, tindakkan pelaku itu juga boleh mengganggu gugat perancangan syarikatnya di Sabah dan Sarawak yang kini sedang rancak.

“Ini adalah perniagaan besar bukan amaun yang kecil tapi babitkan jutaan ringgit.

“Kalau dia boleh jadi orang yang menyebabkan kerugian berjuta kepada saya, jadi saya perlu bagi pengajaran pada dia.

“Saya boleh keluarkan fakta kalau dia nak cerita mengenai fakta, tapi kalau setakat bercakap dari apa yang dia nampak, semua orang boleh bercakap,” katanya.

Tambah Shuib lagi, tuduhan individu itu yang mendakwa syarikatnya sebenarnya dimiliki ‘type-C’ adalah tidak patut.

“Adakah individu itu cuba untuk menggunakan elemen perkauman di sini? Adakah menjadi satu kesalahan besar apabila ada pengarah berbangsa lain dalam syarikat.

“Saya boleh bagi dia fakta sahih, siapa pemiliknya bumiputera atau tidak. Saya nak bagitahu yang Bubblebee adalah 100 peratus milik bumiputera dan saya adalah pemegang saham terbesar, jadi berhati-hatilah bila bercakap,” katanya.

Baru-baru ini syarikat milik Shuib berdepan 18 pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti berjumlah RM1.6 juta kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), sepanjang tahun lalu.

Syarikat terbabit bersama dua pengarahnya diwakili Shuib dan Koh Choon Guan selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Terdahulu, Bubblebee, Shuib dan Koh didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu.

Mereka dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas