Berita

SHMMP Hari Raya Puasa 2025 bermula hari ini, 26 barangan dikawal harga

- Diterbit 24 Mac 2025 5:30 PM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 bermula hari ini hingga 7 April 2025 bagi menstabilkan harga barangan keperluan sempena musim perayaan.

Timbalan Menterinya, Dr. Fuziah Salleh, berkata skim itu bertujuan menangani kenaikan harga serta membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam membuat persiapan Aidilfitri.

“Kerajaan hanya menetapkan harga maksimum, namun peniaga digalakkan menjual barangan pada harga lebih rendah jika memperoleh bekalan pada harga lebih murah,” katanya selepas sesi turun padang di Aeon Mall Nilai, Negeri Sembilan, hari ini.

Sebanyak 26 jenis barangan dikawal di bawah skim ini, meningkat daripada 22 jenis tahun lalu. Empat barangan baharu yang ditambah ialah bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), lobak merah dan santan.

Senarai barangan lain termasuk daging kerbau import, ikan kembung, sawi hijau, cili merah, bawang putih, ubi kentang import, halia tua import serta kelapa parut dan biji.

Fuziah berkata pegawai penguat kuasa KPDN akan melakukan pemeriksaan di pasar awam, pasar tani serta pusat membeli-belah bagi memastikan pematuhan harga terkawal.

“Peniaga yang melanggar peraturan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi individu, serta denda maksimum RM500,000 bagi syarikat,” tegasnya.

Orang ramai digalakkan membuat aduan berkaitan ketidakpatuhan harga melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, e-mel [email protected], atau aplikasi Ez ADU KPDN.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas