Berita

Sharifah Shahirah hati-hati terima tawaran, selidik jika terima tawaran tak masuk akal

- Diterbit 4 Februari 2025 6:25 PM MYT

PENYAMPAI radio, Sharifah Shahirah mendakwa kegagalan memahami kontrak menyebabkan sesetengah selebriti terjebak dengan syarikat scammer.

Menurut Sharifah Shahirah, atau Shiera, 51, artis bukanlah tidak bijak tetapi ada kalanya faktor pembabitan selebriti lain meyakinkan mereka untuk menerima sesuatu tawaran.

Bagaimanapun ujar Shiera, setakat ini dia belum pernah merasa tawaran ratusan ribu ringgit kerana secara berseloroh mengatakan dia hanyalah artis gred D.

“Alhamdulillah setakat ini saya belum pernah lagi dijerat sindiket penipuan yang mempergunakan artis.

“Artis bukan tidak bijak, memang ada kontrak perlu ditandatangi tapi perincian dalam kontrak ada masanya mengelirukan.

“Mereka akan terus bersetuju dan tidak fikir panjang apabila melihat adanya pembabitan selebriti lain berstatus ‘datuk’ kerana merasakan syarikat itu legit,” kata Shiera yang ditemui pada majlis pembukaan cawangan keempat Kays Steak & Lobster di Elmina, Shah Alam, Selangor.

Shiera tidak menafikan tawaran lumayan boleh menyebabkam seseorang gelap mata, justeru dia akan menyelidik sekiranya ditawarkan jumlah tidak masuk akal.

Shiera yang bergerak sendiri tanpa pihak pengurusan mengakui risau menjadi mangsa syarikat yang kononnya berprofil tinggi.

Justeru, dia lebih selesa berurusan dengan ejen yang dilantik pihak syarikat kerana lebih meyakinkan dan segala terma pada kontrak adalah melalui ejen.

“Tawaran yang saya terima kebanyakannya produk makanan keluarga, setakat ini belum pernah lagi saya dilamar syarikat perunding kewangan.

“Siapa tidak mahu tawaran lumayan? Saya akui boleh ‘sesat’ kalau dapat tawaran hampir setengah juta.

“Tapi kalau betul, timbul juga rasa was-was. Bukan apa risau juga dari mana mereka dapat wang sebanyak itu kerana selalunya syarikat besar lagi berkira,” katanya lagi.

Terdahulu beberapa selebriti termasuk ikon tempatan dalam radar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dipercayai terlibat dalam sindiket tawaran pinjaman.

Ia susulan SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan dalam Ops Sky.

Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit dan satu orang awam dan kesemua mereka telah dilepaskan daripada reman dengan jaminan SPRM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas