Selebriti

Sharifah Rose lebih berhati-hati

- Diterbit 21 Februari 2025 2:21 PM MYT

SEBAGAIMANA artis-artis lain, pelakon Sharifah Rose, 26, juga tidak terlepas daripada dugaan hidup, apatah lagi umurnya yang masih muda.

Bagi Rose atau nama sebenarnya Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira, apapun yang berlaku, ibunya, Noraini Dahlan, adalah insan terbaik menjadi tempat mengadu dan meluahkan masalah.

Misalnya baru-baru ini, Rose akui berasa kecewa kerana rakan kongsinya tidak mahu menyambung kontraknya selepas tiga tahun, menerusi jenama tudung Harirose yang turut diusahakannya.

“Saya dan ibu selaku pengurus sudah cuba untuk berbincang secara baik dengan rakan kongsi untuk sambung kontrak tetapi gagal.

“Kami tidak dapat kata sepakat dan ada beberapa isu yang tidak capai persetujuan membabitkan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Dalam masa yang sama, Rose belum memikirkan soal tindakan undang-undang.

“Saya juga ikut nasihat ibu supaya mengambil pengajaran dan lebih berhati-hati memilih rakan kongsi bisnes selepas ini. Saya akan mulakan proses untuk buat jenama baru pada tahun ini,” katanya.

Menurut Rose, rasa kecewa dan terkilan itu sangat dalam kerana memulakan bisnes tersebut dari awal.

“Sebagai rakan kongsi bisnes dan salah seorang ahli lembaga pengarah, pasti saya nak sambung kontrak sebab sayang dengan nama Harirose yang juga jenama pertama.

“Saya sudah turun dan naik bersama jenama itu. Malah, saya juga tidak ambil tawaran berlakon setiap kali raya untuk fokus pada jenama berkenaan.

“Tapi rakan kongsi tidak mahu sambung kontrak dengan alasan dia tidak boleh nak bayar saya serta anggap jenama itu tidak menguntungkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas