PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang menjadi harapan terakhir Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024, berjaya meneruskan kemaraan ke pentas final acara keirin lelaki di Velodrom Saint Quentin selepas Kaiya Ota yang menamatkan saingan di tempat ketiga dilayangkan kad kuning kedua.
Perjuangan pelumba kelahiran Johor itu hampir terhenti di saingan separuh akhir keirin sebentar tadi namun tuah seakan-akan menyebelahi Shah Firdaus apabila Kaiya Ota dibatalkan daripada saingan tersebut sekali gus menyaksikan dia akan mara ke peringkat akhir, menyemarakkan lagi harapan untuk melihat pingat terakhir untuk kontinjen negara.
Berbaki satu setengah pusingan, Shah Firdaus cuba merapatkan jurang dengan pelumba di tempat ketiga Kaiya Ota dari Jepun, sebelum pecutan beliau terganggu selepas dihimpit seorang pelumba di kedudukan kelima.
Pelumba berusia 28 tahun itu akhirnya terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat dengan 0.437 saat di belakang pendahulu M Richardson dari Australia.
Acara final keirin akan berlangsung pada pukul 7.32 malam ini. – WILAYAHKU