SETIAUSAHA Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn akan mengadakan lawatan kerja ke negara ini bagi meningkatkan kerjasama dan penglibatan dengan Malaysia dalam memastikan kejayaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada 2025.
Wisma Putra memaklumkan, lawatan bermula hari ini sehingga 4 Disember dengan Kim Hourn akan diiringi pegawai-pegawai daripada Sekretariat ASEAN.
Jelasnya, semasa lawatan, Kim Hourn dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Beliau (kim Hourn) juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Menteri Penyelaras bagi tonggak Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC).
“Seterusnya beliau dijadual bertemu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing,” kata Wisma Putra dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Wisma Putra, dalam pertemuan-pertemuan itu, Malaysia akan berkongsi mengenai persiapan keseluruhan bagi kepengerusian pada 2025 termasuk bidang-bidang keutamaan dan keberhasilan yang akan dilaksanakan.
Katanya, perbincangan juga akan menyentuh mengenai tema Kepengerusian ASEAN iaitu keterangkuman dan kemampanan, dan sokongan yang akan diberikan oleh Sekretariat ASEAN kepada Malaysia.
Ia jelasnya, bagi memperkukuh koordinasi dan sinergi merentasi ketiga-tiga tonggak Komuniti ASEAN.
“Sokongan dan nasihat berterusan daripada Sekretariat ASEAN kepada semua kementerian dan agensi yang terlibat, khususnya dalam memelihara memori institusi dan penyediaan dokumen penting, akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh inisiatif pembinaan Komuniti ASEAN serta rangka kerja institusinya,” tambahnya. – WILAYAHKU