Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
KETIKA lagu rock yang disebut sebagai rock kapak melanda negara ini pada tahun 1980-an hingga 1990-an, saya sudah berada di Kuala Lumpur. Sebagai sebuah kota metropolitan yang menjadi tumpuan dari segenap pelosok, Kuala Lumpur menjadi pusat berkembangnya sesuatu jenis muzik yang kemudiannya merebak ke seluruh negara.
Penularan sesuatu lagu ketika itu dibawa oleh radio dan televisyen sahaja. Selepas mendapat sambutan di Kuala Lumpur, barulah kaset-kaset cetak rompak diedarkan ke tempat-tempat lain. Tahun 1980-an adalah kemuncak kegiatan cetak rompak hingga terpaksa dilawan oleh karyawan sendiri seperti dalam filem Kembara Seniman Jalanan (1986) arahan Nasir Jani.
Populariti lagu rock kapak telah membentuk gaya hidup dan yang paling ketara sekali dapat dilihat daripada fesyen pakaian remaja ketika itu. Seluar ketat, baju T berlogo tengkorak, ada juga hanya memakai singlet dan semestinya rambut yang panjang mengerbang serta kasut kanvas.
Maka Kuala Lumpur pun penuh dengan anak muda yang perasan diri mereka sebagai rockers, ke hulu ke hilir di sana sini. Malah sukar hendak dibezakan antara kumpulan muzik rock atau peminat. Masa yang sama juga lahir begitu banyak kumpulan rock, ada yang hebat dan tidak kurang juga yang sebaliknya. Banyak juga selepas menerbitkan satu album terus lesap.
Lalu yang menjadi latar pada kehidupan saya dan rakan-rakan yang berusia 20-an ketika itu adalah lagu rock kapak. Ibarat sebuah pementasan dan lagu rock kapak menjadi muzik latarnya. Lagu-lagu itu mempunyai pertautan dengan kehidupan generasi muda pada masa itu.
Hingga kini apabila terdengar lagu rock kapak, saya segera terhantar ke perdu masa lalu antaranya pengalaman menjalani kehidupan di Kuala Lumpur, berlari mengejar bas mini, berasak-asak macam sardin dalam bas kecil yang lajunya macam lipas kudung. Selain itu sangat tebal ingatan bersiar-siar di Dayabumi antara bangunan yang menjadi mercu tanda Kuala Lumpur.
Maka lagu rock kapak itu sendiri sangat berkait dengan cebis-cebis kenangan dan ingatan generasi pada era itu. Malah mengingatkan kembali era gemilang Central Market sebagai port anak-anak muda dari pelbagai bidang seni bertemu dan membuat acara seni.
Lagu rock kapak juga mengembalikan ingatan manis saya pada acara yang diadakan oleh rakan-rakan seniman jalanan, membaca puisi bawah tiang lampu berdekatan Central Market. Sekalipun acara baca puisi itu tidak diselitkan lagu rock kapak, tetapi ingatannya terkait kerana rock kapak adalah latar pada zaman itu.
Bagaimanapun sebaik sahaja melangkah ke alaf baharu tahun 2000, secara perlahan-lahan rock kapak menghilang dan tenggelam. Banyak kumpulam muzik rock juga ikut hilang daripada radar. Kini lagu rock kapak sudah hilang sepenuhnya dalam kehidupan sosial anak muda.
Cebisan kenangan
Malah yang dulunya anak muda menjadi peminat rock kapak kini sudah mempunyai anak remaja, bahkan banyak yang sudah bercucu. Masa terasa begitu pantas meninggalkan garis ingatan masa lampau dan berada pada zaman yang baharu. Demikianlah hakikat kehidupan, zaman bergerak ke depan dan yang tinggal hanya ingatan dan kenangan.
Kini banyak dalam kalangan peminat rock kapak tidak lagi berambut panjang mengerbang, sebaliknya berubah mengikut gaya semasa, berambut pendek dan kelihatan lebih kemas. Mengubah dan diubah adalah dua perkara yang silih berganti dalam semua kehidupan.
Bagaimanapun ingatan, perasaan dan kenangan yang tercetus pada zaman gemilang rock kapak itu tidak pernah hilang. Kepada golongan yang pernah melalui zaman muda ketika kemuncak lagu sedemikian, lagu rock kapak ada terselit pada banyak cebisan kenangan.
Lagu-lagu itu sentiasa mengingatkan segala peristiwa yang berlaku ketika alam Kuala Lumpur bergema dengan rock kapak. Di mana-mana tidak kira tempatnya rock kapak menjadi latar pada semua peristiwa. Ada yang manis malah tidak kurang juga pahitnya, rock kapak adalah latarnya.
Maka antara lagu yang menjadi identifikasi zaman seperti Fantasia Bulan Madu (Search), Rozana (Search), Cinta Buatan Malaysia (Bum Putra Rockers), Umpama Mimpi Dalam Mimpi (Damasutra), Antara Gadis (Ilusi), Di Halaman Rindu (Lefthanded), Masih Aku Terasa (Gersang), Suratan Takdir (Gersang) terus dalam ingatan mereka yang pernah mendengar walaupun hanya sekali.
Sekalipun lebih 30 tahun berlalu, mendengar semula antara lagu-lagu di atas, adalah mengingatkan kembali latar zaman yang terangkum antara manusia dan peristiwa. Bukan sahaja ingatan pada merdunya lagu dan indahnya lirik, akan tetapi segala pengalaman dan rentetan hidup yang dilalui pada garis masa itu.
Sebenarnya pada semua era ada lagu-lagu yang menjadi latar peristiwa atau kenangan dan terus melekat di ingatan mereka yang pernah mendengarnya. Misalnya mereka yang pernah melalui fasa kehidupan era lagu pop 1960-an atau pop yeh-yeh, lagu itu juga tidak pernah terpadam.
Maka timbul persoalan, kenapa ada lagu yang pernah didengar suatu masa yang lama dulu terus diingati bersama-sama peristiwa yang berlaku dalam hidup kita? Tidak semua orang meminati lagu rock kapak, tetapi apabila mendengar kembali lagu itu ada kenangan lain yang turut terkait.
“Muzik sememangnya sesuatu yang sangat terkait dengan identiti individu yang membuatkan mereka mengenal muzik yang pernah didengar. Selalunya muzik atau lagu pada zaman muda yang mencetuskan apa yang disebut sebagai bonjolan kenangan (reminiscence bump) dalam ingatan masa kini,” kata Dr Kelly Jakubowski seorang Profesor Psikologi Muzik di Universiti Durham di United Kingdom.
Beliau menambah orang dewasa mempunyai ingatan yang sangat baik pada lagu-lagu tertentu ketika muda dan boleh mengembalikan ingatan dari tempoh masa itu. Hal itu kerana muzik bukan sahaja didengar, tetapi juga ‘dilihat’ daripada bayangan imejan yang disampaikan pada perasaan seseorang. Perasaan yang mampu melihat imejan muzik itulah yang membuatkan sesuatu lagu kembali dalam ingatan.
Sebenarnya muzik atau lagu mempunyai keupayaan yang luar biasa untuk membangkitkan semula ingatan dan perasaan yang lalu. Kuasa muzik itu boleh membawa pendengar menziarah masa lalunya tanpa dirasakan oleh individu yang tidak melalui zamannya.
Rock kapak yang terus segar dalam ingatan membuktikan lagu adalah sumber nostalgia yang amat lazim dan berpengaruh. Mengingati masa lalu adalah baik daripada aspek psikologi antaranya untuk meminjam inspirasi daripada garis masa ketika melalui zaman muda.