POSITIF HIV bukan bermaksud pengakhiran dalam kehidupan. Mungkin mereka pernah terkhilaf dalam mengatur langkah namun mereka juga layak diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan seperti manusia biasa.
Berjuang untuk mendapatkan peluang kedua serta sinar baharu baharu dalam hidup semestinya sukar buat pesakit HIV terutama mereka yang pernah melalui detik hitam dalam kehidupan.
Ibarat burung melayang tanpa arah, kehidupan yang dahulu diterangi cahaya dan gembira bersama insan-insan tersayang berubah sekelip mata seolah-olah berakhirnya kehidupan.
Berkongsi kisah, Wan (bukan nama sebenar) berkata episod hitam dalam hidupnya bermula selepas kematian isteri tercinta lantas dia tidak mampu melapang dada menerima ketentuan tersebut.
“Kehidupan saya berubah, saya tertekan dan tidak boleh terima keadaan. Dunia seolah-olah menjadi gelap, jadi saya cari jalan penyelesaian dengan mengambil dadah.
“Saya rasa kehidupan saya ketika itu lebih tenang namun yang memilukan saya hilang jiwa, jadi seorang yang panas baran, tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah serta hidup tidak tentu arah malah saya juga pernah menjadi gelandangan walaupun saya ada rumah.
“Sebelum saya meneruskan kehidupan dalam kancah dadah, saya hantar anak-anak ke rumah saudara kerana saya tidak berupaya dan berkemampuan untuk menjaga mereka. Ketika itu saya lebih fikir tentang diri sendiri berbanding mereka,” ujarnya yang berasal dari Pantai Timur.
Terjerat dengan kancah dadah selama beberapa tahun, Wan mengakui bahawa dia ingin mencari kepuasan dalam hidupnya apatah lagi tiada seorang pun yang pernah menghalangnya untuk melakukan apa-apa sejak kecil lagi.
Namun, dia bersyukur kerana Allah masih memberikan peluang kedua kepadanya untuk mencari sinar dalam kehidupan terutama apabila dia dihantar ke sebuah pusat pemulihan akhlak.
“Selepas ditangkap oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ketika sedang menghisap dadah di rumah bersama rakan, saya telah dimasukkan ke dalam lokap. Kemudian dihantar ke sini.
“Berada di sini, saya rasa tenang dan sebenarnya saya silap, dulu saya menganggap bahawa tak ada orang yang ambil berat dan menyayangi diri ini tapi sebaliknya ada,” ujarnya sebak.
Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna, namun Wan percaya dirinya mampu berubah menjadi lebih baik dan bertekad untuk meneruskan kehidupan sama seperti manusia biasa.
“Kalau diberi kesempatan, saya takkan terfikir langsung untuk terlibat dalam penagihan dadah kerana ia akan membuat kita rasa menyesal yang tidak berkesudahan.
“Justeru itu, saya harap kepada mereka di luar sana yang sedang berjuang mendepani penyakit HIV termasuk stigma masyarakat ini agar sentiasa kuat, tidak lemah semangat, bangkit teruskan berjuang demi kehidupan,” ujarnya.
Terkena jarum suntikan
Berbeza pula dengan Afifi (bukan nama sebenar), dia mengambil inisiatif datang ke pusat tersebut untuk mendapatkan rawatan susulan selepas dijangkiti HIV akibat terkena jarum suntikan sewaktu bekerja.
“Selepas enam bulan saya mendapat chicken pox dan sakit mata, kemudian apabila menjalankan pemeriksaan, saya disahkan dijangkiti HIV dan mendapat rawatan susulan di Hospital Sungai Buloh.
“Namun, sebelum kejadian itu, sebenarnya saya sudah terlibat dalam dunia dadah jenis syabu sejak tahun 2012 tetapi tidaklah begitu kerap. Walau bagaimanapun, selepas terkena jarum suntikan itu, saya menjadi aktif dalam kancah dadah ini, boleh dikatakan setiap hari saya akan mengambil dadah.
“Disebabkan pengambilan dadah secara kerap, saya mengalami masalah psikologi di mana saya pernah cuba untuk membunuh diri terutama apabila disahkan dijangkiti HIV kerana tidak boleh menerimanya,” katanya.
Afifi berkata, dia juga turut menangung derita apabila berhadapan dengan halusinasi sendiri di mana dia merasakan orang sekeliling tidak dapat menerima penagih dadah sepertinya.
“Meskipun begitu, Alhamdulillah ketika saya memberitahu keluarga, mereka boleh menerima dan mereka turut memberi sokongan untuk mendapatkan rawatan di sini.
“Saya rasa kehidupan di sini sangat tenang, bebas daripada dadah malah rasa ketagihan itu pun sudah tiada kerana di sini kami sentiasa sibukkan diri dengan aktiviti, jadi rasa itu pun sudah hilang,” katanya.
Dalam pada itu, Afifi sempat menitipkan nasihat kepada orang ramai untuk menghindari dadah terutamanya untuk mencari ketenangan kerana najis tersebut tidak pernah menjanjikan penyelesaian. – WILAYAHKU