Fokus

Sesal seumur hidup

Gambar hiasan
- Diterbit 4 Oktober 2024 5:58 PM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

BERGELAR ibu merupakan hal yang terindah dalam hidup namun sekiranya ia disebabkan keterlanjuran pastinya perkara itu bertukar menjadi tekanan dan bebanan bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan menyeret keluarga ke lembah yang amat
memalukan.

Itu yang dirasai oleh Aina, 22, yang mengakui terleka dengan keseronokan di alam cinta sehingga rela menyerahkan segalanya termasuk kehormatan diri meskipun baru tiga bulan mengenali teman lelaki.

“Kami mula berkenalan menerusi media sosial dan kerap berjumpa pada hujung minggu. Hubungan kami sangat mesra sehingga akhirnya terlanjur. Waktu itu saya takut tetapi apabila dia berjanji akan kahwin, saya rasa lega.

“Dalam masa yang sama, saya mengandung. Saya tak tahu nak buat apa, apabila berterus terang tentang kandungan ini, teman lelaki terus menafikan anak dalam kandungan saya. Malah tak lama selepas itu dia berkahwin dengan pilihan keluarganya,” katanya.

Berkongsi lanjut, Aina berkata dia yang hilang arah bersyukur kerana kedua orang tuanya tidak terus membuang dirinya meskipun perkara tersebut membawa kekecewaan yang mendalam buat mereka.

“Dengan sokongan ahli keluarga saya mampu untuk teruskan kehidupan sehingga kini dan sejarah hitam itu akan terus tersisa dalam diri ini namun ia tidak akan menjadi penghalang untuk saya terus istiqamah dalam menjadi insan diredai Allah SWT,” ujarnya.

Sementara itu, bagi wanita yang dikenali dengan panggilan Sarah berkata sikap liarnya memakan diri apabila terlanjur dengan teman lelaki seterusnya dia dihalau oleh keluarga.

Mengimbau peristiwa malang itu, wanita berusia 22 tahun tersebut berkata ibu bapanya sudah mendidiknya dengan baik namun disebabkan pengaruh rakan serta darah muda membuatkannya terikut-ikut dengan cara hidup yang salah.

“Kebiasaannya saya akan tipu ibu bapa setiap kali keluar rumah dengan mengatakan saya mahu menyiapkan tugasan namun hakikatnya saya menghadiri parti liar.

“Selepas dapat tahu tentang kehamilan ini, mereka terus menghantar saya ke rumah perlindungan wanita dan sehingga kini mereka tidak pernah bertanya khabar. Mungkin mereka terlalu kecewa namun saya tidak salahkan mereka. Insya-Allah satu hari nanti saya akan mencari mereka untuk meminta maaf dan menebus semula kesalahan,” kongsinya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas