Berita

Serangan zionis: Malaysia mahu UNSC ambil tindakan segera, tegas

- Diterbit 9 November 2024 5:16 PM MYT

MALAYSIA menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera, tegas dan bersepadu bagi memastikan keselamatan semua anggota pengaman yang bernaung di bawah badan dunia itu.

Ia susulan serangan rejim zionis di Sidon, selatan Lubnan, kelmarin, yang mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang bertugas dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).

Serangan itu turut mencederakan tiga anggota tentera Lubnan.

Wisma Putra memberitahu, serangan haram berterusan Israel mencabul Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, Konvensyen Geneva dan Resolusi UNSC 1701.

Katanya, ia merupakan asas kepada mandat UNIFIL untuk melaksanakan misi dan operasi di rantau tersebut. Peranan penting UNIFIL ini tidak boleh terjejas.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel itu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Jelas Wisma Putra, Malaysia sekali lagi menegaskan bahawa keselamatan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta petugas, konvoi dan infrastruktur misi kemanusiaan perlu sentiasa dilindungi dan diutamakan.

Katanya, ini merupakan satu kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa yang tidak boleh dikompromi dan harus dipatuhi oleh semua negara tanpa sebarang pengecualian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas