PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) meminta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) meningkatkan tahap keselamatan pemain ketika pergi dan pulang dari stadium termasuk di tempat penginapan sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, isu keselamatan pemain tidak boleh dipandang ringan terutamanya selepas insiden yang berlaku membabitkan tiga pemain bola sepak baru-baru ini.
“Kejadian ini perlu dipandang serius lebih-lebih lagi sementara waktu ini. Tindakan proaktif sewajarnya diambil kerana sebarang kemungkinan tidak boleh dijangka khususnya selepas perlawanan tamat.
“Kawalan keselamatan perlu diberikan perhatian maksimum bagi semua pasukan bukan sahaja di stadium malah sewaktu pemain pergi dan balik dari stadium,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata walaupun beban tanggungjawab MFL dan persatuan bola sepak negeri bertambah, namun isu keselamatan pemain perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan insiden tidak diingini.
Sementara itu, Mohd Yusoff yang juga Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL) berkata Liga M3 yang kini dijenamakan semula sebagai Liga A1 Semi Pro juga tidak terkecuali untuk diberikan kawalan keselamatan.
“Saingan di liga berkenaan turut membariskan bekas pemain kebangsaan yang perlu diberi perhatian sama seperti saingan liga utama negara.
“AFL akan memperincikan dalam aspek keselamatan terhadap pemain sebelum sepak mula Liga Semi Pro ini bulan depan,” ujar beliau. – WILAYAHKU