Berita

Serangan ke atas Turkish Aerospace Industries: Tiada rakyat Malaysia terlibat

- Diterbit 24 Oktober 2024 11:46 AM MYT

TIADA rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam serangan yang berlaku di ibu pejabat syarikat aeroangkasa dan pertahanan Turkiye, Turkish Aerospace Industries (TAI) di Kahramankazan, 40 kilometer di utara Ankara semalam.

Wisma Putra memberitahu, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara sedang memantau rapat perkembangan semasa kejadian tersebut.

“Semua rakyat Malaysia di Turkiye dinasihatkan untuk kekal tenang, waspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Ankara atau Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Wisma Putra, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan tersebut.

Dalam pada masa sama Malaysia merakamkan setinggi-tinggi ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Turkiye dan keluarga mangsa yang terkorban dan berharap supaya mereka yang cedera agar segera sembuh.

Serangan pengganas itu menyebabkan lima terbunuh manakala 22 yang lain cedera.

Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya berkata, dua penyerang ditumpaskan dan usaha sedang dilakukan untuk menentukan identiti mereka. – WILAYAHKU

caption:
TANGKAP layar daripada video kamera keselamatan menunjukkan dua orang bersenjata api dan beg galas memasuki premis Turkish Aerospace Industries sebelum melakukan serangan. – Gambar AP

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas