KETUA Task Force Pemantauan Kluster Makanan, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mencadangkan kerajaan untuk meletakkan portfolio urusan padi dan beras padi di bawah badan itu.
Beliau berkata langkah itu membolehkan mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan isu beras dalam negara.
“Saya nak minta perdana menteri meletakkan portfolio urusan padi, penambahan hasil padi dan urusan beras diletakkan di bawah NACCOL. Saya mengambil tanggungjawab untuk selesaikan isu ini.
“Bagi saya masa tiga bulan sahaja. Saya boleh selesaikan. Saya akan buat cadangan tanpa ada gangguan.
“Sebab itu saya minta, seluruh isu beras padi dalam negara diletakkan di bawah NACCOL, sementara sahaja. Bukan saya minta lama-lama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media mengenai isu beras negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, pada 15 Januari lalu mengumumkan kementerian sedang kaji secara terperinci sama ada mahu membenarkan atau tidak penjualan beras campuran.
Beliau dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata bekalan beras tempatan kena dipastikan cukup kalau tidak mahu campur.
Masalah sekarang, katanya, banyak aduan dari pengilang yang mereka tidak boleh jual beras dengan harga RM26 untuk kampit 10 kilogram (kg) sebab harga itu harga pada 2008.
Hasil kajian akan dibentang kepada perdana menteri pada suku pertama tahun ini.
Mohamad berkata tiada larangan jelas tentang pencampuran beras di dalam Akta Kawalan Padi dan Beras, malah cadangan itu turut disokong Suruhanjaya Persaingan Malaysia sebagai kaedah penyelesaian masalah bekalan beras.
Pada 19 Jan, wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Muhamad Rafidaus Abu Bakar, berkata penjualan beras campuran berisiko menyebabkan kualiti beras tempatan terjejas. – WILAYAHKU