KIRA-KIRA 40 pengusaha teksi di Labuan merayu kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan pihak berwajib menguatkuasakan dan menyeragamkan semula kadar harga perkhidmatan teksi dan e-hailing.
Menurut Pengerusi Persatuan Pengusaha Teksi Labuan, Ismail Abdul Rahman, pihaknya mengakui dan tidak menolak sebarang perubahan kemodenan masa kini seperti kemunculan perkhidmatan e-hailing yang memberi peluang ekonomi kepada masyarakat dan negara.
Namun perbezaan kadar harga tambang yang berlainan menjadi satu penyebab perkhidmatan teksi tidak lagi menjadi pilihan utama oleh masyarakat mahupun pelancong yang datang ke pulau tersebut.
“Saya dan ahli persatuan yang juga pengusaha teksi yang masih beroperasi merayu kepada kerajaan agar mengambil tindakan sewajarnya mempertimbangkan untuk menyeragamkan semula harga tambang teksi dan e-hailing.
“Kami di sini tidak takut dan menolak e-hailing, namun apa yang kami mahukan adalah tambang yang dicaj harus sama dan ia terpulang kepada pelanggan untuk menentukan pilihan mereka,” katanya kepada Wilayahku.
Tambahnya, dia turut menyuarakan cadangan agar pihak berkuasa tempatan memperuntukkan dua lokasi tetap iaitu di Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan Lapangan Terbang Labuan dikhususkan kepada pengusaha teksi sahaja.
Beliau berkata cadangan itu diharap dapat dipertimbangkan agar nasib pengusaha teksi di pulau tersebut terbela sekali gus memperolehi sedikit pendapatan di dua lokasi strategik itu demi kelangsungan hidup.
“Dengan sedikit pendapatan itu dapatlah kami bertahan meneruskan kehidupan,” katanya sambil memaklumkan kini hanya sekitar 40 pengusaha teksi yang masih beroperasi berbanding 150 pengusaha sebelum ini.
Sementara itu, seorang pemandu teksi, Mohd Maslani Abdullah, 66, mengakui pendapatannya terjejas teruk dengan kemunculan perkhidmatan e-hailing yang sering beroperasi di sekitar bandar terutamanya di Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan Lapangan Terbang Labuan.
Maslani berkata setiap bulan dia hanya mampu memperolehi pendapatan kurang daripada RM300 berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Kami tiada pilihan jika penumpang lebih memilih untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing memandangkan harga yang ditawarkan lebih murah sedangkan tambang bagi teksi ditentukan kerajaan.
“Maka dengan itulah, kami menggesa kepada pihak berwajib untuk mengambil langkah agar nasib kami terbela. Jika perkara ini berterusan sehingga tiada penghujungnya, saya percaya perkhidmatan teksi pada tahun ke hadapan akan lenyap begitu sahaja,” katanya.
Jelasnya kadar tambang teksi bermula RM15 hingga RM35 setiap perjalanan mengikut zon yang diperuntukkan.
Bagi Md Zulkefle Mustapah, 49, pula ketiadaan pengunjung luar selain kurangnya orang ramai berurusan di pulau tersebut menyebabkan permintaan terhadap perkhidmatan teksi terus berkurangan hari demi hari. seragam semula tambang. – WILAYAHKU