Berita

Seorang parah, tiga cedera khemah jual mercun terbakar

- Diterbit 2 April 2025 12:30 PM MYT

SEORANG parah manakala tiga lagi cedera selepas sebuah khemah menjual mercun terbakar dalam kejadian di Kampung Batu 9, Pekan Sabak Bernam, awal pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.08 pagi sebelum menggerakkan sebuah jentera bersama lapan anggota ke lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya mendapati kebakaran melibatkan kanopi 40 kaki persegi itu telah padam sepenuhnya sebelum ketibaan pihak bomba.

“Insiden melibatkan empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an dengan seorang daripadanya cedera parah pada bahagian kaki kiri dan kanan serta tangan kanan manakala seorang lagi hanya cedera ringan.

“Kesemua mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad menerusi satu kenyataan memaklumkan siasatan awal mendapati premis terbabit mempunyai kebenaran lesen memiliki dan menjual mercun serta bunga api yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam bermula pada 7 Mac hingga 5 April ini.

“Semua mangsa yang merupakan pekerja premis itu sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam.

“Siasatan berhubung kejadian masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam menerusi talian 03-3224 5963 bagi membantu siasatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas