Berita

Seorang kapten kapal hilang, enam kru terselamat dalam insiden kapal karam

- Diterbit 28 Januari 2025 4:35 PM MYT

ENAM kru terselamat manakala seorang Kapten kapal kargo dikhuatiri hilang dalam insiden kapal kargo dinaiki karam dan terbalik kira- kira 1.8 batu nautika daripada Tanjung Perapat, Lawas, pada malam Isnin.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Labuan, Kepten Izwanhadi Idros, kejadian dilaporkan berlaku jam 10.15 malam dan Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuching mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 10.45 malam.

Katanya, susulan insiden itu pihaknya telah mengatur gerak dua aset iaitu Kapal Maritim Bestari (KM Bestari) dan Bot Petir 90 untuk membantu operasi menyelamat.

“Setiba di lokasi kira-kira jam 6.30 pagi tadi, KM Bestari menemui kapal kargo dalam keadaan terlingkup dan memang disyaki kapal kargo Salim Enam.

“Enam awak-awak yang berjaya menyelamatkan diri melalui rakit penyelamat telah ditemui oleh bot nelayan. KM Bestari kemudian menyelamatkan semua enam kru berkenaan dan dibawa ke Labuan,” katanya dalam sidang media, pada Selasa.

Tambahnya, seorang Kapten kapal kargo masih hilang dan dikhuatiri berada di dalam kapal berkenaan.

Katanya, operasi mencari mangsa masih diteruskan membabitkan bantuan pasukan menyelam dari MRSC Kuching dan Sabah di Lokasi kejadian.

“Sahabat marin dan agensi penyelamat yang lain turut membantu dalam operasi pencarian berkenaan.

“Manakala dua daripada enam mangsa yang selamat mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Labuan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, Izwanhadi menyatakan punca insiden tersebut masih dalam siasatan oleh pihaknya dan Jabatan Laut Malaysia.

“Kapten kapal karga dan semua kru yang berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun adalah warga Indonesia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas