YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) terus proaktif dalam menjamin kesejahteraan warga emas di negara ini terutama golongan terpinggir yang memerlukan sokongan serta bantuan.
Eksekutif Kanan Pembangunan Komuniti YWP, Siti Nadiah Mohd Ariff berkata cakna dengan keperluan warga emas, YWP menghadiri menyantuni golongan tersebut menerusi Program Golden Years, Golden Care: Empowering Seniors & Caregivers yang telah diadakan baru-baru ini.
“Ia diadakan bertujuan untuk beramah mesra bersama golongan tersebut dan berkongsi kegembiraan agar mereka tidak berasa sunyi.
“Pihak YWP turut menyampaikan sumbangan peralatan kesihatan seperti tiga unit kerusi roda, satu unit tandas mudah alih, pampers, tuala dan selimut.
“Kebanyakan warga emas di sini, mereka berkerusi roda dan terlantar jadi pergerakan mereka agak terhad,” katanya.
Mengulas lanjut, Siti Nadiah berkata program tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Perubatan Universiti Malaya (UM).
“Kebanyakan sukarelawan Jabatan Perubatan UM ini merupakan penerima biasiswa institut pengajian tinggi (IPT) di bawah YWP dan pada masa akan datang kita akan libatkan lebih ramai penerima biasiswa.
“Pihak YWP juga akan terus menyantuni pusat-pusat warga emas yang memerlukan khususnya di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Sains dan Kejururawatan UM, Nor Zehan Ahmad berkata antara aktiviti yang diadakan adalah senaman ringan, beberapa permainan santai serta penjagaan kejururawatan seperti nail care, dressing dan banyak lagi.
“Seramai 11 sukarelawan UM, 30 pegawai YWP dan lima wakil Nurse Society mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan sepanjang bulan ini.
“Program Golden Years, Golden Care ini merupakan program lawatan sebanyak tiga kali berturut-turut ke PJ Senior Care, Petaling Jaya di mana kami akan memberi khidmat masyarakat kepada penghuni serta berkongsi sedikit ilmu bersama penjaga di rumah ini,” katanya.
Terdahulu, Majlis Penutup Program Golden Years, Golden Care: Empowering Seniors & Caregivers telah diadakan bertempat di Universiti Malaya dan sumbangan berjumlah RM20,000 telah disampaikan oleh YWP kepada wakil PJ Senior Care.
Hadir sama, Dekan Fakulti Perubatan UM, Profesor Datuk Dr Yang Faridah Abdul Aziz; Ketua Jabatan Sains Kejururawatan, Fakulti Perubatan UM, Profesor Dr Tang Li Yoong dan Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Strategik & IT YWP, Datin Ida Harlina Ikhwan Nasir. – WILAYAHKU