Selera

Sentuhan ‘luar biasa’ negara gajah putih

- Diterbit 11 Oktober 2024 12:11 PM MYT

MASAKAN dari negara Thailand terutamanya tomyam merupakan antara hidangan yang digemari ramai‚ rasanya yang pedas‚ masam manis menjadikan ia antara juadah yang wajib pesan setiap kali singgah menjamu selera.

Di negara ini‚ restoran yang menyajikan makanan dari negara Gajah Putih itu mudah didapati namun tidak semuanya mampu menawarkan rasa yang seimbang dan autentik. Dengan menggunakan bahan tempatan seperti ketumbar‚ serai‚ bawang putih‚ sos ikan dan daun limau purut bersama pes asli yang diimport dari Thailand menjadikan hidangan di Restoran Medina Thai Tom Yam secukup rasa dan sesuai dinikmati bersama keluarga dan rakan-rakan.

Menurut pemiliknya‚ Muhammad Subandi Mohd Yusof‚ tomyam pok thek dan makanan laut bakar merupakan antara menu pilihan pelanggan yang datang ke kedainya sejak tahun 2015.

“Tomyam pok thek kita istimewa dan lain daripada biasa kerana menggunakan bahan-bahan premium untuk memastikan rasa yang lazat. Di dalamnya kita ada satu per tiga bahagian ikan siakap‚ ketam‚ udang‚ sotong‚ udang galah‚ lala dan kupang selain sayur-sayuran yang pasti memuaskan hati pelanggan.

“Bahan-bahan yang digunakan adalah segar dan kita hanya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk penyediaan sebelum boleh dihidangkan kepada pelanggan‚” katanya kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut‚ Muhammad Subandi berkata menu lain yang menjadi pilihan pelanggan adalah makanan laut bakar.

“Uniknya makanan laut bakar ini adalah ia dihidangkan bersama kuah di atas pemanggang yang dibakar panas atau dipanggil hot plate.

“Pengunjung boleh menikmati ketam‚ udang galah‚ sotong‚ lala‚ kupang‚ sayur brokoli serta salad dengan pes istimewa kami yang dicampur susu cair bagi menambahkan lagi aroma dan rasa uniknya‚” ujarnya.

Tambahnya lagi bagi menjamin keaslian rasa masakan‚ pihaknya menggunakan khidmat tiga orang tukang masak yang dibawa khas dari daerah Pattani‚ Yala dan Narathiwat‚ Thailand.

“Untuk setiap menu yang diperkenalkan kita akan lalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) terlebih dahulu dan perbincangan akan dilakukan bersama tukang masak dan beberapa pekerja terlibat.

“Kesemua tukang masak ini telah bersama-sama kita sejak awal pembukaan kedai pada tahun 2015‚” ujarnya.

Muhammad Subandi berkata kedainya juga sering dikunjungi beberapa nama besar dari golongan diraja serta pelbagai lapisan masyarakat.

Tambahnya‚ harga yang ditawarkan sangat berbaloi bermula RM30 untuk dua menu yang menjadi pilihan ramai.

Berkongsi perancangannya untuk masa akan datang‚ Muhammad Subandi berkata pihaknya akan memperkenalkan beberapa lagi menu baharu dalam memenuhi permintaan pelanggan.

“Sekarang kita dalam proses untuk memperkenalkan menu baharu tetapi perlu melalui R&D terlebih dahulu. Ada menu berasaskan makanan laut dan juga barat. Kita janjikan untuk buat yang terbaik. Kalau ada yang tak sedap boleh bagitahu kami untuk kami perbaiki. Warga Putrajaya dan sekitar dijemput untuk datang ke kedai kami dan merasai sendiri masakan dari negara Gajah Putih‚” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas