Berita

Seniwati Noor Azizah meninggal dunia

- Diterbit 7 April 2025 1:30 PM MYT

PELAKON era 60-an, Seniwati Datin Noor Azizah telah menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 3 pagi tadi pada usia 78 tahun.

Allahyarham yang menghidap penyakit buah pinggang meninggal dunia akibat sesak nafas di Kampung Paloh, Ipoh.

Noor Azizah dilahirkan di Kinta, Perak, dan memulakan kerjaya seninya pada 1965 menerusi filem Dayang Senandong sebagai pelakon tambahan.

Pembabitan Noor Azizah dalam dunia perfileman berlaku secara kebetulan ketika melawat Studio Jalan Ampas di Singapura.

Semasa kunjungan, kejelitaan Noor Azizah mendapat perhatian Seniman Allahyarham Datuk Ahmad Mahmud yang menawarkannya membintangi filem Dayang Senandong.

Sebaik selesai penggambaran filem Dayang Senandong, Noor Azizah ditawarkan membintangi filem Sri Andalas, A Go Go 67 dan terakhir, Raja Bersiong sebelum berpindah ke Kuala Lumpur.

Nama Noor Azizah mula mencipta kemasyhuran apabila membintangi filem Enam Jahanam arahan Tan Sri P Ramlee pada 1969.

Di Merdeka Studio, beliau mencipta kemasyhuran sebagai bintang filem apabila sering digandingkan dengan Allahyarham Seniman Ed Osmera.

Antara filem lakonannya termasuklah Jangan Tinggal Daku, Kembang Layu, Durjana, Di Belakang Tabir, Perintah Sri Paduka, Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh, Sayang Anakku Sayang, Cinta dan Lagu serta Pendekar.

Noor Azizah pernah diberi penghormatan membintangi filem produksi Indonesia iaitu Malin Kundang bergandingan bersama aktor terkenal, Rano Karno dan Jangan Kau Tangiskan.

Beliau juga pernah membintangi drama bersiri, Bailey Bird daripada produksi Australia pada 1977 dengan memegang watak Doktor Susan Lim.

Allahyarham mempunyai dua cahaya mata dan menghidap penyakit buah pinggang dan kini menjalani rawatan dialisis.

Jenazah Allahyarham Noor Azizah akan diuruskan di Masjid Paloh Ipoh dan dijangka akan dikebumikan selepas Zuhur di tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh, Ipoh. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas