Selebriti

Seni makmur, seni menyubur

- Diterbit 6 September 2024 5:10 PM MYT

SEGENAP lapisan masyarakat negara ini berjaya mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang berkat kemakmuran yang dinikmati sejak negara mencapai kemerdekaan.

Malah warga Sarawak yang menjadi anak perantau meninggalkan kampung halaman juga tidak ketinggalan mencipta pencapaian tersendiri termasuklah dalam bidang seni.

Mereka berjaya mewarnai dunia hiburan dan mendapat tempat di hati peminat. Bersama wartawan DEEL ANJER, Wilayahku menemu bual artis popular Bob Yusof, Sharifah Zarina dan Nanasheme yang berjaya membuktikan kerja keras membuahkan hasil sekali gus menjadi inspirasi generasi muda.

KL tempat cari rezeki

PELANTUN lagu Langit Ketujuh, Sharifah Zarina mengakui tidak mudah untuk dirinya mencapai cita-cita sebagai penyanyi di awal kemunculannya dahulu.

Menurut pemilik nama sebenar Sharifah Zarina Wan Hassan, dia masih ingat kenangan ketika berhijrah ke Kuala Lumpur demi menggapai impiannya itu.

“Dulu era 90-an, kebanyakan pertandingan nyanyian di Kuala Lumpur. Saya nekad ke uji bakat nyanyian semata-mata kerana minat menyanyi.

“Biarpun sedang dalam persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya tetap ke KL untuk menyertai pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan.

“Bayangkan, ketika masih bersekolah dan saya nak ke Kuala Lumpur dengan tiket yang mahal. Bukan macam sekarang ada tawaran tiket murah. Alhamdulillah saya berjaya ke KL dan memenangi pertandingan peringkat mingguan namun terpaksa melepaskan peluang kerana memberi tumpuan kepada SPM,” ceritanya.

Menyifatkan rezekinya ketika itu di KL, pada tahun 1999 dia kembali ke ibu negara dan bermulalah episod untuk mencari peluang menjadi penyanyi.

“Akhirnya saya bertemu dengan komposer Azmeer, dari situ saya popular dengan lagu Langit Ketujuh sampai sekarang lagu itu jadi pilihan peminat.

“Banyak peluang yang saya dapat di KL dan dalam masa yang sama dapat mencapai impian menjadi penghibur. Semuanya merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila,” ujarnya.

Bijak cari peluang

SELEBRITI yang berasal dari Limbang, Sarawak, Bob mengakui untuk menjadi anak seni yang berjaya perlu mempunyai hati yang kental dan mental yang kuat.

“Pada awal mula-mula saya bertapak dalam industri muzik 20 tahun yang lalu, persaingan dalam industri kreatif ini sangatlah sengit. Cuma saya agak beruntung kerana berpeluang menyertai program realiti Akademi Fantasia (AF) musim kedua.

“Program itu memberikan sedikit kelebihan kepada kami. Ini kerana ketika itu AF menjadi satu trend baharu dan mendapat tempat di hati peminat. Kiranya di mana-mana sahaja orang bercakap tentang AF,” katanya.

Menurut Bob yang popular dengan tagline mesra dalam AF berkata dia melalui dunia berbeza selepas tamat program realiti itu.

“Apabila menempuh atau masuk ke industri sebenar, cabaran saya adalah kena bersaing bagi mendapatkan tempat sebaris dengan penghibur Malaysia yang hebat-hebat ketika itu. Itulah realiti yang harus dihadapi.

“Apa yang saya tak boleh lupa, saya sering diajukan soalan tentang perbandingan rupa paras yang dikatakan pakej penting untuk menjadi artis.

“Sehinggakan ketika itu saya berfikir, nak jadi artis ni kena kacak atau good looking baru boleh berjaya ke? Kalau tak ada macam mana? Tapi saya tak pernah beralah untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi dan penghibur atau pekerja industri kreatif yang baik di belakang tabir,” ujarnya.

Dalam pada itu, Bob juga sempat berkongsi tip buat anak-anak muda Sarawak yang mahu menceburi bidang seni.

“Apa yang saya boleh kongsikan adalah perlunya semangat juang yang tinggi dan cekal dan rajinlah mengasah bakat yang ada kerana kita tak tahu ada bakat terpendam lain,” ujarnya.

Perlu pandai jaga diri

PENYANYI lagu Hantu Atau Buaya yang berasal dari Kuching, Sarawak, Nanasheme berkata penghijrahannya ke Kuala Lumpur demi mengejar cita-cita bukanlah sesuatu yang mudah kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga.

“Di awal pembabitan dalam nyanyian ini, saya perlu pindah ke KL. Sudah tentu apa yang paling menguji perasaan kerana saya ini seorang family person.

“Namun, itu bukan penghalang sebab bila sudah ada kerjaya, saya akan peruntukkan duit untuk tiket kapal terbang. Jadi kerap juga balik Sarawak atau kadang-kadang keluarga juga datang ke KL untuk berjumpa.

“Sebenarnya saya rasa beruntung mempunyai keluarga dan orang sekeliling yang sentiasa menyokong serta membantu diri ini menjadi seorang yang berdikari,” katanya.

Nanasheme juga turut menasihati anak-anak Sarawak yang ingin menjadi selebriti atau membina kerjaya di KL untuk mempunyai persiapan diri terlebih dahulu.

“Pesanan saya buat anak-anak Sarawak yang bekerja atau belajar di KL, kena pandai bawa diri. Apabila menjadi perantau, perkara penting adalah bijak menyesuaikan diri.

“Apabila datang ke tempat orang, perlu simpan duit. Selain untuk masa depan, duit itu bolehlah digunakan untuk membeli tiket kapal terbang bagi menjenguk keluarga di kampung.

“Dalam masa yang sama, sentiasalah berkongsi keberadaan kita bersama kawan atau rakan-rakan terdekat di KL. Di mana pun kita berada, sibuk macam mana sekalipun, sentiasalah update. Ia nampak simple, tapi sebenarnya sangat penting. Jangan pandang remeh ya!” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia berasa bangga kerana perjalanan seninya di Kuala Lumpur membawa banyak kenangan manis dan yang pastinya dia turut gembira hidup di ibu negara yang pesat membangun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas